Wednesday 31 December 2014

Petikan Dari Blog Anjung Tradisi


Jika pembaca mendengar nyanyian Jamilah Abu Bakar dalam video di atas. Sudah tentu tahu mengapa kumpulan kami sentiasa menggunakan khidmat Jamilah dalam semua persembahan kami.

Dengan bayaran tidaklah semahal artis popular semasa. Hasil yang kita dapat setara dengan artis yang telah dikenali. Jamilah dibesarkan dengan penyanyi lagu keroncong dan tradisional Melayu. Melalui kemahiran yang dimiliki itu Jamilah telah menjadi seorang penyanyi yang versatil dan boleh menyanyi dengan baik dalam semua jenis muzik.

Walaupun masih muda (19 tahun) Jamilah sebenarnya telah banyak mencapai kejayaan dalam bidang seni terutamanya apabila pernah dijemput oleh Malaysian Philharmonic Orchestra Petronas dalam beberapa Konsert mereka di Dewan Filharmonik petronas. Serta Jamilah juga pernah mengadakan konsert beliau yang pertama di Panggung Bandaraya KL pada 28 dis 2013 di bawah program mentor mentee Dana kreatif Negara. Kini Jamilah menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Jamilah Abu Bakar, boleh layari youtube channel Jamilah disini http://www.youtube.com/user/abubakarismail

Sekiranya ada yang berminat untuk menggunakan khidmat kumpulan kami sama ada Kumpulan Ghazal, Kumpulan muzik 1Malaysia, Kumpulan muzik unplugged, Gamelan, Kumpulan Tarian, Kumpulan Tarian kanak-kanak yang boleh menari berbagai tarian tradisional dan antarabangsa seperti zapin joget dan hindustan untuk acara makan malam, perkahwinan dan acara khas boleh menghubungi saya seperti maklumat di bawah.

Terima Kasih kerana memberi sokongan. Bahizal Abu Bakar Pengurus Anjung Tradisi 0132674462 emel: AnjungTradisi@gmail.com youtube channel: www.youtube.com/user/AnnjungTradisi facebook: www.facebook.com/anjungtradisi

Saturday 29 November 2014

Lagu-lagu Bollywood menyegarkan

Tiada sangka lagu-lagu Bollywood nyanyian Jamilah sangat digemari. Di mana-mana sahaja apabila Jamilah membuat persembahan, tepukan gemuruh diberikan oleh penonton apabila Jamilah menyanyikan lagu Hindustan.

Pada hari Khamis 27 November 2014 lepas, Jamilah telah dijemput untuk membuat persembahan di Majlis Makan Malam Persidangan Agung UMNO di PWTC. Ini adalah kali ke-dua Jamilah dijemput membuat persembahan di majlis seumpama itu, Kali pertama bersama kumpulan kesenian Pak Ngah di zaman Pak lah menjadi Perdana Menteri dahulu.

Jamilah diminta bersedia dengan tiga buah lagu untuk persembahan diiringi oleh Kumpulan Briged Seni dari Melaka. Oleh kerana aturcara yang padat Jamilah diminta menyanyikan satu lagu sahaja iaitu lagu Hindustan Khusiyan Aur Gham.

Pada hari sabtu 29 Nov 2014 pula Jamilah dijemput membuat persembahan di Majlis Graduasi pelajar-pelajar ASWARA di Komplek Kraf Jalan Conlay. Sekali lagi Jamilah menyanyikan lagu Hindustan.

Kepada sesiapa yang ingin menjemput jamilah membuat persembahan samada menggunakan Minus One atau bersama kumpulan pemuzik bolehlah menghubungi PAK BAKAR H/P 019-6478180 atau email jamilah95@gmail.com untuk mendapatkan sebutharga.


Persembahan Jamilah bersama Datuk Yusni Hamid di Majlis Makan malam Persidangan UMNO 27 November 2014


Majlis Graduasi Pelajar ASWARA


Persembahan di Singapura


Persembahan di UMNO Pandan


 Rakaman di Rumah

Wednesday 24 September 2014

Album Kedua Jamilah sudah terbit

Setelah usaha-usaha menerbitkan album kedua Jamilah dengan seorang komposer terkenal mengalami kegagalan di separuh jalan,walaupun keseluruhan biaya telah dibuat Jamilah terus dilamar oleh Warisan Records untuk menerbitkan album lagu-lagu tradisional.

Album ini mengandungi 10 buah lagu dengan irama yang segar. Empat daripada lagu tersebut adalah lagu baru manakala enam lagi lagu merupakan lagu-lagu evergreen yang diberikan nafas baru. Dua buah lagu baharu adalah berentak inang yang sesuai untuk dibuat iringan tarian iaitu Bayun Tari Panglima dan Seri Buana.

Sesuai dengan gelaran Ratu Keroncong yang diberikan oleh Noramin Mosyi-Mosyi, Jamilah merakamkan tiga lagu keroncong di dalam album ini iaitu lagu Sayang Disayang, Gambang Semarang, Jangan Ditanya. Jamilah juga yang dikatakan mempunyai pertalian darah dengan Allahyarhan Rosiah Chik akan menyayikan lagu popular beliau iaitu Air Mata Hati.

 

Monday 15 September 2014

Menungkah Arus

Ketika ramai penyanyi dan pelakon dari seberang Tambak Johor berlumba-lumba datang ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib di Malaysia, Jamilah nampaknya menungkah arus mencuba nasib di Singapura. Pada bulan September tahun lepas, Jamilah membuat Konsert Keroncong bersama Datin Julie Sudiro dan R Ismail di Singapura. Sambutan dari peminat-peminat irama keroncong di sana sangat diluar dugaan. Tiada ruang langsung dapat bergerak kerana dipenuhi oleh penonton.

Pada 2 November 2014 ini Jamilah sekali lagi dijemput ke Singapura untuk membuat persembahan Konsert Lagu-lagu Melayu Asli bersama Orkes Gipsy Lautan. Demikianlah nampaknya orang di sana lebih menilai dan menghargai keupayaan anak Segamat ini. Bukannya mengeluh dengan sikap acuh-tak acuh TV dan media di sini. Tetapi itulah kenyataannya.


Sunday 24 August 2014

Selamat Tinggal Syawal

Besok bulan Syawal 1435 akan meninggalkan kita. Hari Raya pada tahun ini disambut secara sederhana. Banyak agensi-agensi kerajaan dan swasta membatalkan sambutan rumah terbuka hari raya sebagai menghormati keluarga yang terlibat di dalam tragedi MH370 dan MH17.

Walau bagaimanapun, terima kasih diucapkan kepada beberapa syarikat swasta yang mengadakan majlis hari raya mereka dan menjemput Jamilah dan Kumpulan Anjung Tradisi membuat persembahan.

Bagi kami di kariah Surau taman Saraya telah mengadakan Majlis Sambutan Raya pada 21 Ogos 2014 dengan mengadakan bacaan Yaasin dan Tahlil sebelum jamuan. Penulis sebagai Pengerusi Surau Taman Saraya mengucapkan terima kasih kepada lebih 200 orang hadirin yang menyerikan majlis pada malam tersebut Sempena Hari Raya ini juga ASWARA telah menerbitkankan sebuah album raya bertajuk "Rindu". Album ini memuatkan 7 lagu baru yang dinyanyikan oleh pelajar-pelajar ASWARA. Jamilah menyanyikan satu lagu solo bertajuk Ikatan Lebaran dan berpadu suara dengan Haqim Anuwar menyanyikan lagu Syawal Menjelma.

Monday 28 April 2014

Festival Nasi Ambeng

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Selangor telah mengadakan Festival Nasi Ambeng pada 19 dan 20 April 2014. Program selama dua hari tersebut telah diadakan di Homestay Banghuris, Sungai Pelek, Sepang Selangor.

Berbagai program telah diatur sepanjang dua hari tersebut. Di antaranya termasuklah pertandingan Memasak Nasi Ambeng, Pertandingan Memancing, Pertandingan Gusti Lengan dan Pertandingan Karaoke.

Pada Malam Penutup Festival Nasi Ambeng, pengunjung telah disajikan dengan masakan Nasi Ambeng dan persembahan kebudayaan dan nyanyian oleh Herman Tino, Raftah Bachik dan Jamilah Abu Bakar. Turut hadir di majlis penutup malam itu dalah Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Dato' Norliza Rofli.

Tahniah kepada Pengarah dan Kakitangan JKKN Selangor yang berjaya menganjurkan Festival Nasi Ambeng 2014.


Konsert Simfoni Warisan

Pada 30hb Mac 2014 telah berlangsung Konsert Simfoni Warisan di Auditorium Tuanku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sungai Gadut, Seremban , Negeri Sembilan.

Konsert ini diadakan sempena Hari Keputeraan D.Y.M.M Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus. Konsert yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menggabungkan 74 orang pemuzik-pemuzik dari RTM, DBKL, UKM dan ASWARA.

Di samping itu 3 orang personaliti dari ASWARA dijemput untuk mewarnai persembahan. Jamilah Abu Bakar, penerima Anugerah Pelajar Terbaik Tahun 1 Diploma Aswara 2014 dijemput untuk menyanyikan lagu " Adat Perpateh : Ikhlas Sehati" ciptaan Ramlan Mohd Imam. Lagu ini telah diangkat sebagai lagu "Art Song" Negeri Sembilan. Jamilah juga menyanyikan lagu "Ubekkan Denai", lagu yang disusun untuk persembahan oleh Roslan Mohd Imam.

Sementara itu, Ayesha Hassan, pelajar ASWARA yang menerima Anugerah Rektor Tahun 2008 dan 2012 menunjukkan kebolehan bermain violin di dalam lagu "Cantek Manih". Manakala Shazana Darawin, graduan Aswara di bidang muzik Callempong membuat persembahan lagu " Merbau & Kelok 9".

Pengarah Muzik dan Konduktor Orkestra Konsert Simfoni Warisan ini adalah Encik Ramlan Mohd Imam, Dekan Fakulti Muzik ASWARA manakala Encik Ruslan Mohd Imam bertindak sebagai Penggubah Muzik dan Konduktor Orkestra bagi Sessi kedua.

Tutut menyaksikan Konsert yang julung kalinya diadakan ini adalah DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir dan Menteri Besar Negeri Semblan, Dato' Seri Utama Hj. Mohamad bin Hj Hasan.





Saturday 15 March 2014

Vokal Jamilah di dalam filem Sleeping Beauty

Pagi tadi jam 10.00 Astro menyiarkan filem karton klasik Sleeping Beauty. Alihbahasa filem itu ke Bahasa Malaysia sebenarnya melibatkan penyertaan Jamilah.

Segalanya bermula apabila Saudara Azmi yang merupakan Penolong Pengarah filem dokumentari Angin Menderu terbitan Finas memperkenalkan kami dengan Min Malik, seorang penyanyi angkatan 90an. Beliau telah membawa Jamilah untuk uji-bakat menyanyi untuk filem Sleeping Beauty di Kelana Jaya pada bulan Disember 2013 lepas. Walaupun sibuk dengan persiapan konsert solo Sulaman Warisannya, Jamilah tidak mahu terlepas peluang keemasan seperti ini.