Wednesday 5 September 2012

Hj. Abdullah Safri - Selamat Menunaikan Fardhu Haji


Hari Sabtu 8 hb September ini kami dijemput oleh Hj. Abdullah Safri untuk majlis doa selamat di rumahnya di Shah Alam sempena pemergian beliau suami-isteri ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan haji.

Haji Abdullah Safri adalah penggiat seni muzik keroncong di Malaysia sebaris dengan Allahyarham Wawang Wijaya, Hj. Mahzan Manan, Abdul Rahim Anuar, Allahyarham Dr. Arif Ahmad dan Allahyarham Johar Bahar.

Sebenarnya kami baru sahaja menziarahi beliau sempena Hari Raya dan mengambil kesempatan menghadiahkan dua tiket Konsert Keroncong Merdeka yang diadakan pada 31 Ogos 2012. Malangnya di saat-saat akhir beliau tidak dapat menonton konsert tersebut kerana dipanggil oleh Masjid Negeri di atas urusan pemergian menunaikan haji.

Kami terutamanya Jamilah merasa sungguh terkilan tetapi merelakan kerana urusan ibadat adalah melebihi dari segala-galanya.

Haji Abdullah Safri sangat dekat di hati kami kerana beliaulah orang yang "menjumpai" bakat Jamilah di dalam nyanyian keroncong. Kisahnya bermula apabila Jamilah dipilih oleh guru sekolahnya menyertai Pertandingan Keroncong Remaja Selangor peringkat Ampang Jaya pada tahun 2006. Seramai 12 peserta remaja telah mendaftar untuk pertandingan tersebut. Pertandingan tersebut mensyaratkan peserta-peserta mestilah berumur 12-15 tahun.

Juri-juri pertandingan terdiri daripada Hj. Abdullah Safri, Hj. Mahzan Manan, Dr Arif Ahmad dan Khairil Johari Johar.

Walaupun peserta pertandingan yang berdaftar adalah seramai 12 orang, tetapi yang telah membuat persembahan cuma 11 orang. Ini menghairankan Hj. Abdullah Safri lalu bertanya kepada pengelola pertandingan "mana seorang lagi peserta?". Pengelola memberitahu bahawa seorang peserta bernama Jamilah Abu Bakar tidak layak bertanding kerana umurnya baru 11 tahun 6 bulan.

Hj. Abdullah akur dengan keputusan pengelola tetapi meminta Jamilah Abu Bakar diberi peluang membuat persembahan. Pengelola bersetuju dan Jamilahpun menyanyikan dua lagu wajib, Sayang Disayang dan Bisikan Hati.

Selesai Jamilah membuat persembahan, ke-empat-empat orang juri memandang di antara satu sama lain. Hj. Abdullah memberitahu penulis sekiranya Jamilah layak bertanding, dialah yang akan menjadi juara. Hj. Abdullah memberitahu juri-juri yang lain yang beliau bercadang melatih budak ini di dalam nyanyian keroncong dan mereka menyokong cadangan itu.

Lalu Hj. Abdullah menemui ibu Jamilah menyampaikan hasratnya dan kami bersetuju.

Latihan keroncong pertama Jamilah adalah untuk Majlis Santapan Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman, Cansellor Universiti Kebangsaan Malaysia sempena Konvokesyen UKM yang akan diadakan seminggu selepas itu. Jamilah akan berpasangan dengan seorang penyanyi keroncong wanita Hidayah Mustafa.

Tiba pada hari Konvokesyen tersebut maka Hj. Abdullah yang memimpin Orkes Keroncong Fajar Baru membuat persembahan keroncong instrumental mengiringi pelajar-pelajar menerima ijazah masing-masing. Majlis Penganugerahan ijazah ditangguhkan pada waktu tengahari untuk Majlis Santapan Tuanku Cansellor.
Sewaktu majlis itulah Jamilah dengan selamba mendendangkan lagu-lagu keroncong. Tetapi lagu yang mendapat perhatian Tuanku adalah sebuah lagu yang dipopularkan oleh Siti Nurhaliza bertajuk Biarlah Rahsia yang disampaikan oleh Jamilah dalam irama keroncong.

Setelah selesai lagu itu dinyanyikan Baginda Tuanku terus memangggil Jamilah menghadap. Baginda memuji Jamilah dan berpesan bila besar nanti Jamilah belajar muzik di UKM.

Demikianlah Jamilah dari tahun ke setahun sejak tahun 2006 hingga tahun 2011 terus membuat persembahan di Majlis Santapan Tuanku Canselor UKM.

Pada tahun ini Jamilah mungkin tidak lagi membuat persembahan di UKM. Peperiksaan SPM Jamilah semakin hampir.

Terima kasih Hj. Abdullah Safri.




Monday 3 September 2012

Bintang Klasik 2012 - Selamat Bertanding Jamilah

Pada masa rencana ini ditulis, Jamilah sedang berada di Angkasapuri sebagai persiapan untuk pertandingan Bintang Klasik 2012. Seramai 28 peserta dari seluruh negara berkampung di Angkasapuri sehingga 9hb. September 2012 ini.

Jamilah yang mewakili Zon Selatan telah diberikan lagu dendangan Sanisah Huri yang dicipta oleh Kasim Masdor dan lirik oleh Yusnor Ef bertajuk "Bimbang". Lagu ini adalah untuk filem Prebet Lapok lakonan A.R.Badul.

Sejujurnya Jamilah belum pernah mendengar lagu ini sebelumnya. Bukan main ghabrah dia. Tetapi setelah mencari dan mendengar di dalam Youtube lagu tersebut, keyakinannya pulih kembali.

Mungkin ada yang bertanya mengapa Jamilah memilih untuk mewakili Zon Selatan? Sebenarnya Jamilah adalah anak Johor walaupun bapanya orang Perak dan ibunya orang Kelantan. Jamilah dikandung oleh ibunya di Segamat, Johor ketika bapanya bekerja di Petronas Gas Segamat pada tahun 1994-95.

Cuma nak dijadikan cerita, bapanya telah mendapat tawaran kenaikan pangkat menjadi Pengurus Sumber Tenaga Manusia di Petronas Research Bangi mulai bulan September 1995. Jadi ibu-bapanya pulang ke Kuala Lumpur untuk membersihkan rumah yang sebelumnya disewakan kepada orang. Semasa membersihkan rumah ibunya terasa sakit hendak bersalin. Bapanya bergegas menghantar ibunya ke Hospital Ampang Putri. Jamilah selamat dilahirkan di sana oleh Dr Jemilah Mahmood, bekas Presiden Mercy Malaysia.

Mengenangkan jasa dan sumbangan Dr. Jemilah kepada negara, bapanya dengan penuh harapan menamakan anaknya Jamilah Abu Bakar. Dr. Jemilah sangat gembira bila mendapat tahu bayi kecil itu dinamakan sempena namanya.

Selamat bertanding anakku.


Lagu yang dibawa Jamilah semasa peringkat Ujibakat


Lagu yang akan dibawa oleh Jamilah di peringkat Separuh Akhir