Monday 22 June 2009

WAWANG WIJAYA DALAM KENANGAN

Pada hari Selasa tanggal 30 Jun 2009, dunia muzik keroncong dikejutkan dengan kematian seorang tokoh muzik keroncong terkemuka Nusantara. Wawang Wijaya ditemui mati di apartment 3 biliknya di Apartment Lestari, Damansara Damai oleh polis yang memecah masuk pintu rumahnya.

Penulis yang baru pulang dari kerja menerima panggilan telefon dari Sarjan Latif dari Balai Polis Seri Damansara pada jam 6 petang. Beliau mendapat nombor telefon Penulis dari telefon bimbit Wawang Wijaya.

Sebenarnya Penulis, isteri dan Jamilah sepatutnya ke rumah Wawang pada malam hari Khamis 25 Jun 2009. Memang pada setiap malam Khamis Wawang Wijaya akan mengajar Jamilah muzik Keroncong di rumah beliau. Namun pada hari Khamis 25 Jun itu, Penulis menerima panggilan dari Wawang pada jam 6 petang memaklumkan bahawa latihan muzik keroncong Jamilah terpaksa dibatalkan kerana beliau tidak sihat. Penulis mendengar suara Wawang dalam keadaan yang lemah dan tersekat-sekat. Risau dengan keadaan beliau yang tidak seperti biasa, yang selalu ceria, bersemangat dan suka berjenaka, penulis memberitahu beliau yang kami akan ke rumah beliau malam itu untuk menziarahi beliau walaupun latihan keroncong dibatalkan.

Malam itu, setelah mengambil Jamilah dari sekolahnya di SMK Taman Tasik, Ampang, kami terus menuju ke rumah Wawang. Kami tiba jam 9 malam dan mendapati rumah beliau yang terletak di tingkat 1 gelap. Biasanya rumah beliau akan terang dan beliau sudah bersedia menerima kedatangan kami dengan peralatan muzik dan komputer siap terpasang. Saya mengetuk rumah beliau tetapi diada jawapan. Saya cuba hubungi beliau dan mendengar deringan telefon rumah beliau tetapi tiada siapa yang mengangkatnya. "Mungkin beliau sudah tidur", saya memberitahu isteri dan Jamilah. Kami beredar dari rumah beliau dan terus ke Restoran Mamak di seberang jalan tempat kami dan Wawang selalu makan dan minum selepas habis latihan keroncong Jamilah. Di dalam hati kami berharap Wawang akan menelefon kami semasa kami makan di restoran Mamak tersebut. Memang kebiasaannya Wawang akan segera menghubungi semula penulis jika panggilan penulis tidak berjawab. Namun malam itu Wawang tidak menghubungi kami. Dalam perjalanan pulang, Penulis cuba menghubungi Wawang lagi tetapi masih tiada jawaban.
Dua hari kemudian Penulis menghantar SMS kepada Wawang bertanyakan keadaan kesihatan beliau. Namun tiada jawapan balasan yang diterima. Mana hati yang tidak akan retak, mana perasaan yang tidak akan hancur bila menerima berita dari Polis yang Wawang telah meninggal dunia.

Sebenarnya persahabatan kami dengan Wawang bermula tidaklah begitu lama. Kami diketemukan di Festival Pertandingan Akhir Keroncong Remaja Peringkat negeri Selangor di Shah Alam pada 9 Februari 2007. Pada malam itu Jamilah yang baru berusia 11 tahun dijemput sebagai penyanyi undangan menyampaikan dua buah lagu keroncong, Stambul Baju Biru dan Sateh Kajang. Kami diperkenalkan kepada Wawang Wijaya oleh tokoh pemuzik keroncong tanahair, Hj. Abdullah Safri. Tertarik dengan persembahan nyanyian Jamilah, Wawang menawarkan diri untuk melatih Jamilah.

Sejak itu Wawang tidak pernah jemu-jemu berulang-alik dari rumah beliau, ketika itu di Bandar Menjalara, ke rumah kami di Ampang dengan menaiki LRT ke rumah kami mengajar Jamilah. Murid mesti mencari guru, bukannya guru yang mencari murid. Lagipun Jamilah tidak mempunyai sebarang peralatan muzik keroncong di rumah. Jadi selepas beberapa bulan Jamilah pula berulang-alik ke rumah Wawang di Bandar Menjalara dan sejak tiga bulan yang lepas di Damansara Damai. Jamilah dan Wawang juga sering bersama-sama memenuhi undangan persembahan di sana sini. Jamilah yang beliau panggil sebagai "Puteri" sudah dianggap sebagai anak beliau.

Kini semuanya sudah berakhir. Allah menyayangi beliau lebih dari kami. Wawang sudah tiada lagi. Namun kekentalan semangatnya, ketabahannya menghadapi pancaroba kehidupan seorang diri tetap bersemadi di dalam kehidupan kami. Beliau pernah memberitahu Jamilah yang beliau telah selesa dengan nyanyian keroncong Jamilah. Beliau seterusnya mahu mengajar Jamilah di dalam nyanyian lagu-lagu Barat dan dan lagu-lagu asli.

Sebagai seorang bapa, Wawang juga sering menasihati Jamilah supaya tidak mengabaikan pelajaran. Malah beliau mencabar Jamilah supaya mencapai keputusan yang lebih baik dari beliau (8A) dalam peperiksaan PMR nanti.

Wawang Wijaya. Engkau tetap di dalam ingatan kami. Al-fatihah.