Wednesday 3 July 2013

Ke mana arah tuju?

"Ruginya, dapat 10A dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia mahu meneruskan pelajaran di bidang muzik" Begitu banyak sekali pendapat sebegini yang diterima oleh penulis dari kawan-kawan.

Tetapi Jamilah sudah nekad untuk melanjutkan pelajaran di bidang muzik.Sebagai ibu-bapa kami merestui dan mendoakan agar pilihannya tepat. Pengalaman dengan anak ke-lima kami cukup untuk mengajar kami agar memberi kebebasan kepada anak-anak memilih jalan hidup mereka sendiri. Dia berminat melanjutkan pelajaran di bidang pertanian. Tetapi setelah mendapat 10A SPM di MRSM Jasin, ibunya mahu dia melanjutkan pelajaran ke luar negara di bidang kedoktoran. Dalam keterpaksaan beliau memasuki IB Mara di Banting untuk mempersiapkan diri belajar di luar negara. Belajar dalam keadaan terpaksa. Hasilnya beliau gagal ke luar negara. Mujurlah MARA masih prihatin lalu menempatkannya di Universiti Perubatan Cyberjaya. Sekarang di dalam tahun akhir perubatan dan Insya Allah akan tercapai juga hasrat ibu untuk mempunyai seorang anak bergelar doktor di dalam keluarga.

Berbalik kepada cerita Jamilah. Beliau memohon bidang muzik di UiTM dan Aswara dan kedua-dua institusi pengajian tinggi itu menawarkan pengajian kepada Jamilah. Sekali lagi keputusan besar terpaksa diambil. UiTM atau Aswara?. Sebelumnya Dekan Fakulti Muzik UiTM, Datuk Khairil Johari Johar pernah berbual dengan Jamilah di majlis Anugerah Sastera DBP 2012 dan mengajak Jamilah memasuki UiTM. Dalam masa yang sama Jamilah nampaknya cenderung mahu memasuki Aswara kerana ramai kawan-kawan artis di sana seperti Sabihah, Eddie Nazrin, Hakim, Afif, Ilham dan Atiqah. Malah pengajar-pengajar Aswara juga seperti S Atan dan  R. Ismail sudah mengenali Jamilah semasa penggambaran dokumentari Angin Menderu. Seorang lagi pengajar Aswara, Muriz Che Rose memang telah lama mengenai Jamilah di dalam penglibatan dengan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas.

Nampaknya keputusan akhir memilih Aswara dipermudahkan apabila Jamilah dipilih menerima Geran Mentor-Mentee Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Di dalam program selama enam bulan ini Jamilah diberi elaun bulanan untuk belajar lagu-lagu klasik dengan otai lagu-lagu asli Samsudin Lamin. Di akhir program Jamilah akan membuat persembahan konsert dengan dibiayai oleh JKKN. Semuanya berjalan dengan lancar apabila penulis berjumpa dengan Bahizal Abu Bakar dari Istana Budaya. Beliau akan menjadi Project Director kepada persembahan Jamilah ini yang dirancang diadakan pada 28 Disember 2013. Khabarnya pihak atasan Aswara bersetuju akan membantu persiapan persembahan Jamilah nanti. Terima kasih.

Pengajian di Aswara yang dijangka bermula pada bulan Julai 2013 telah ditunda ke bulan September 2013.

Aktiviti terdekat Jamilah sekarang ini adalah mempersiapkan diri untuk Pertandingan Akhir Mface 2Minutes2Fame di Genting Highland pada 21 Julai 2013.

Pada 16-20 November 2013 Jamilah akan bersama Orkestra Filharmonik Remaja Malaysia membuat persembahan di Alor Setar, Kedah.

Akhir kata diucapkan Selamat Berpuasa kepada kaum Muslimin dan Muslimat.



Persembahan di Floria Putrajaya 2013 bersama Samsudin Lamin

Bertadarus di Surau Taman Saraya