Tuesday 29 November 2011

Musim Cuti Sekolah

Bulan November dan Disember setiap tahun sangat dinanti-nantikan oleh kanak-kanak sekolah kecuali yang masih menduduki peperiksaan SPM.

Bagi Ahmad Akmal (10 Tahun) dan Habibah (7 Tahun) bukannya masa untuk berehat menonton TV atau bermain komputer. Seawal jam 10 pagi mereka perlu berada di Hotel De Palma, Ampang sehingga jam 10 malam untuk sesi latihan tarian bersama-sama anak-anak Permata Seni Tari yang lain. Namun keriangan terpancar di wajah mereka setiap kali kami mengambil mereka pulang. Terima kasih kepada JKKN dan guru-guru pelatih PST yang melatih dan menjaga anak-anak kami dengan sangat baik

Khabarnya anak-anak Permata Seni Tari menjalani latihan intensif untuk tiga persembahan besar yang akan diadakan pada awal bulan Disember ini. Kemuncak persembahan mereka adalah Festival Kanak-Kanak Antarabangsa yang akan diadakan di KLCC pada 10-12 Disember ini.

Pada hari Sabtu 26 November lepas ibu-bapa anak-anak Permata Seni Tari dijemput menonton preview persembahan anak-anak mereka bersama Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli.  Di akhir persembahan diumumkan bahawa Habibah dipilih sebagai Penari Kanak-Kanak Perempuan Terbaik.



Di samping itu Jamilah terus mendapat undangan menyanyi. Pada hari Rabu 23 November Jamilah membuat persembahan nyanyian di Majlis Penutup KIK Kementerian Pelajaran Malaysia di Hotel Blue Wave shah Alam manakala pada hari Isnin 28 November pula Jamilah membuat persembahan secara live di rancangan Selamat Pagi Malaysia RTM1.



Sunday 6 November 2011

RENCANA UTAMA - KOSMO 31 OKTOBER 2011

Nisa, Jamilah, Ikhwal popularkan Malaysia


NISA ADDINA MOHAMAD TAUFIK, 15, antara bakat muda yang mengharumkan nama negara dalam pertandingan World Championships of Performing Arts (WCOPA) yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) tahun ini.

Pemain biola kelahiran Kuching, Sarawak itu gembira kerana berjaya membawa kemenangan utama menerusi pertandingan seni persembahan yang disertai lebih 40 buah negara.

Mewakili negara dalam kategori Junior Instrumental, remaja yang mesra disapa Nisa itu mengungguli tiga pingat emas dalam genre asal, klasikal dan kontemporari dan pingat perak bagi kategori genre terbuka.

"Saya turut memenangi Juara Keseluruhan Dunia untuk kategori instrumental klasikal dan kontemporari. Syukur, segala usaha yang dilakukan membuahkan hasil.

"Sewaktu berada di atas pentas, dada berdegup kencang manakala tangan menggigil-gigil. Debaran bertanding 10 kali ganda menakutkan berbanding melakukan persembahan biasa dan sesi latihan. Maklumlah, ini pengalaman pertama saya beraksi di pentas dunia," jelas Nisa yang mengutip pengalaman berharga sepanjang berada di Los Angeles.

Alunan biola

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang, Kuching itu berpeluang menjalani sesi latihan bersama Dorian Holley, pemuzik yang pernah bekerjasama dengan Raja Pop Dunia, Michael Jackson. Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin kerana Nisa memasang impian untuk berjaya dalam bidang muzik seperti penyanyi hip hop AS, Eminem dan bintang pop Jepun, Utada Hikaru.

Nisa yang bermain biola klasik dan elektrik menjelaskan, dia mula bermain biola pada umurnya tujuh tahun. Pada waktu itu, dia sedang menghadiri kelas piano dan terlihat seorang pemuda begitu asyik menggesek biola. Alunan muzik yang merdu dan reka bentuk biola yang cantik telah menarik minat Nisa untuk bermain alat muzik berkenaan.

"Melihat kesungguhan saya yang mahu bermain biola, ibu menghantar saya ke kelas biola kendalian Marcus Leong dan ahli Orkestra Simfoni Negeri Sarawak (SONS). Pada mulanya, kehadiran saya tidak terlalu menonjol kerana saya pemalu dan merupakan pelajar yang paling muda.


"Tetapi lama-kelamaan, saya berubah kerana kita perlu berani dan pantas bertindak. Kini, saya semakin selesa dengan muzik biola dan sentiasa menerima undangan persembahan daripada pelbagai pihak dan organisasi," jelas pencinta rona biru itu yang gemar membuat persembahan di Pusat Konvensyen Kuching Bornei (BCCK). Alasannya ringkas, Nisa menggemari suasana dewan yang selesa dan sistem bunyinya.

JAMILAH kini tampil dengan album pertama Keroncong Jamilah yang mengandungi 12 buah lagu keroncong.

Seorang lagi permata negara berbakat besar, Jamilah Abu Bakar, 16, mula memperkenalkan muzik tradisional Malaysia di mata dunia sejak usia 12 tahun. Memiliki vokal yang lunak merdu ketika menyanyikan lagu-lagu asli antara faktor utama Jamilah dipilih mewakili negara ke Festival Kanak-Kanak Antarabangsa 2007 yang berlangsung di Turki.

"Itulah pengalaman pertama saya melakukan persembahan di luar negara. Paling menyedihkan pemergian saya ke sana tidak ditemani ibu atau bapa. Mula-mula sukar untuk membiasakan diri apatah lagi berhadapan dengan musim sejuk di Turki.

"Namun, memikirkan tanggungjawab yang digalas demi Malaysia, pada hari persembahan saya berusaha lakukan yang terbaik supaya masyarakat di luar sana dapat menghargai keistimewaan muzik tradisional kita," jelas Jamilah yang menyanyikan lagu Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Cindai, pada festival berkenaan.

Keroncong Jamilah

Menyingkap titik permulaan Jamilah dalam bidang seni tradisional terutamanya keroncong, anak ketujuh daripada sembilan beradik itu menyatakan semuanya bermula sejak enam tahun lalu.

Disebabkan selalu melakukan persembahan nyanyian pada majlis anjuran sekolahnya, Sekolah Kebangsaan Bukit Teratai, Ampang, Kuala Lumpur, salah seorang gurunya telah memilih Jamilah mewakili sekolah ke Pertandingan Keroncong Remaja peringkat negeri Selangor.

Malangnya, pada hari pertandingan itu, Jamilah tidak dibenarkan bertanding kerana belum cukup umur. Namun dia tetap diberi peluang menyanyi selaku penyanyi jemputan. Bertitik tolak daripada episod itulah, Jamilah yang berkebolehan mengalunkan lagu keroncong dengan baik menambah hati Abdullah Jufri iaitu salah seorang juri profesional pada pertandingan keroncong tersebut.

Lebih membanggakan, bakat nyanyian keroncong Johan Bintang Kecil Selangor 2007 dan Johan Karaoke Terbuka Tahun Melawat Malaysia 2007 itu turut diasuh oleh nama-nama besar dalam muzik keroncong. Antaranya, Allahyarham Wawang Wijaya, 64, komposer keroncong terkenal dari Indonesia.

"Wawang. guru keroncong terbaik. Dia tidak lokek ilmu malah sentiasa mengajar dan mengasah anak-anak didiknya menyanyikan lagu irama keroncong dengan betul. Muzik keroncong perlu diberi penekanan pada aspek lenggok dan patah kata.

"Walaupun hanya sempat menuntut selama tiga tahun bersama Wawang, sehingga ke hari ini kata-katanya masih tersemat di jiwa saya. Wawang menasihati saya agar menyanyikan lagu keroncong dengan hati yang ikhlas dan jangan sesekali pedulikan sindiran sinis orang sekeliling yang cuba memperlekehkan kita," jelas Jamilah yang pernah terlibat dalam persembahan Keroncong Kasih-Menyusur Zaman di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) anjuran Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP).

Namun cinta Jamilah terhadap muzik keroncong semakin mendalam meskipun selepas Wawang sudah tiada. Enggan membiarkan kecintaan itu lenyap begitu saja, kini dia menuntut ilmu irama keroncong bersama penggiat keroncong tempatan, Mahzan Manan, 77, dan pada masa yang sama meningkatkan mutu vokal di dalam kelas kelolaan, Siti Hajar.

Lebih mengujakan kecintaannya pada irama keroncong diterjemahkan dalam album Keroncong Jamilah yang mengandungi 12 buah lagu keroncong.







Studio mini

"Seronok sepanjang menyiapkan proses album ini kerana saya benar-benar menghayati lirik lagu keroncong yang amat puitis dan romantik. Apatah lagi, ia didendangkan bersama alunan irama mengasyikkan," jelas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik Ampang yang pernah memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Sementara itu, ibu Jamilah, Kamariah Che Soh, 46, yang menguruskan aktiviti Jamilah memberitahu dia dan suaminya, Abu Bakar Ismail, 57, amat menyokong perjalanan seni anak gadisnya itu.

Bagaimanapun, Kamariah sentiasa memastikan Jamilah membahagikan masa antara nyanyian dan pelajaran dengan betul kerana pada tahun depan dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Lazimnya, selepas pulang dari sekolah dia menumpukan sepenuh perhatian pada sesi ulang kaji dan menyiapkan kerja sekolah.

Tepat pukul 6 petang dia berlatih menyanyi di studio mini bersama bapanya di rumah. Latihan yang konsisten membantu Jamilah menghafal lagu dan membetulkan lenggok, sebelum melakukan persembahan pada setiap hujung minggu.

Tambah Kamariah: "Di rumah, Jamilah tak banyak cakap dan pemalu tetapi sebaik saja berada di atas pentas, dia bertukar menjadi individu yang bersahaja dan ramah berkomunikasi dengan penonton."