Monday 15 April 2013

Selamat Bertanding Zulkarnain Ismail di DUN 11 Gunung Semangggol

Jam 1 pagi tadi penulis menerima SMS dari adik penulis yang bongsu dari sembilan orang adik beradik memaklumkan beliau terpilih sebagai calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Gunung Semanggol. Beliau memohon restu dan doa dari penulis. Kemudian diikuti pula dengan SMS dari abang penulis yang sulung di Keratong, Pahang memberitahu perkara yang sama.

Sebenarnya di dalam keluarga adik-beradik kami seramai 9 orang mempunyai fahaman politik yang berbeza. Separuh menyokong Barisan Nasional dan separuh lagi menyokong PAS. Namun kami tidak pernah membiarkan fahaman politik yang berbeza memecahkan persaudaraan kami. Semoga berterusan begini hendaknya. Ingat dan sedekahkan Al-Fatihah kepada ayahanda dan bonda kita. Sebagai Imam di Masjid Sungai Kepar semasa hayatnya ayahanda memang matang tidak pernah mengutuk mana-mana parti politik, walaupun beliau adalah penyokong BN.

Tuesday 9 April 2013

Keputusan 10A SPM Jamilah Abu Bakar



Pagi 21 Mac 2013, telefon bimbit penulis dihujani dengan panggilan telefon dan SMS. Pada hari itu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia akan diumumkan. Penulis dan isteri pagi-pagi lagi telah bersiap untuk menghantar Jamilah ke sekolahnya untuk mengambil keputusan peperiksaannya.

Lama juga menunggu di depan pintu sekolah kerana rupanya Majlis Khas akan diadakan untuk mengumumkan pelajar-pelajar yang cemerlang di sekolahnya - Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik, Ampang.

Sebenarnya keputusan awal SPM boleh diketahui melalui pesanan SMS. Tetapi Jamilah samada tidak mahu atau tidak berani SMS untuk mengetahui keputusannya. Sudah seminggu meragam di rumah - semua yang dibuat tidak kena.

Dalam pada menunggu sebelum majlis bermula, penulis menerima panggilan telefon dari Cikgu Tukinah, Guru Penolong Kanan SMKTT yang bertanya samada penulis berada bersama Jamilah di sekolah atau tidak. Bila penulis menjawab "ya" Cikgu Tukinah terus mematikan telefon. Makin berdebar rasanya menunggu keputusan.  Sebenarnya Cikgu Tukinah banyak mengambil berat tentang pelajaran dan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum Jamilah. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas sumbangan beliau.

Tiba masa yang dinantikan....... Semuanya menjadi sejarah dalam hidup Jamilah.