Saturday 23 June 2012

BERSATULAH MELAYU

Sajak nukilan Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin

Bersatulah Melayu
Kalau nampak ada retak
Kerana  retak hujungnya belah
Bimbang belah membawa pecah
Melayu ini tak mampu berpecah!

Bersatulah Melayu
Melayu itu cermin
Dalam jernihnya kita menilik
Kita menilik mencari wajah
Wajah Melayu wajah kita.

Bersatulah Melayu
Melayu itu lampu
Terangi jalan luas terbentang
Siapa cuba kaburkan suluh
Kelak hilang arah dan tuju.

Bersatulah Melayu
Melayu itu payung
Payung jangan carik
Carik payung
Manakah lagi tempat berlindung!

Bersatulah Melayu
Melayu itu pohon
Akarnya mencengkam bumi
Bumi ini pautan kasih
Kasih Melayu segala kasih!

Melayu bersatulah
Cari dan rangkalah jalan damai
Damai membuka pintu pertemuan
Pertemuan kelak merintis padu
Berpadu Melayu berpadu semua!



Sunday 17 June 2012

Jamilah Juara Mface 2Minutes 2Fame sessi 1

Lama juga rasanya tidak menulis di dalam halaman blog ini. Bukannya apa sekarang ini Jamilah sibuk dengan persediaan menghadapi peperiksaan SPM hujung tahun ini. Bonda Pengetua SMK Taman Tasik telah menasihati Jamilah agar memberi tumpuan penuh dalam menghadapi SPM untuk mengekalkan pencapaian cemerlang seperti di dalam peperiksaan PMR dahulu.

Tetapi sebenarnya aktiviti nyanyian Jamilah bukanlah alasan untuk tidak boleh mencapai keputusan yang cemerlang di dalam pelajaran. Pokok pangkalnya ialah perancangan masa, usaha, keazaman dan doa kepada Ilahi agar usaha kita dimakbulkan.

Sabtu lepas Jamilah ke Pulau Pinang kerana terpilih sebagai salah seorang daripada 20 finalis rancangan realiti internet Mface 2Minutes 2Fame sessi yang pertama. Program ini dikelolakan oleh AC Living Large Sdn Bhd yang di pengerusikan oleh Datuk AC Mizal. Sesiapa sahaja boleh menyertai pertandingan ini dengan memuat-naik video persembahan mereka di dalam apa jua aktiviti samada menyanyi, menari, permainan silap mata atau lain-lain lagi di dalam www.mface.me

Jamilah telah memuat naik 7 video dan salah satu darinya bertajuk "Hurt" telah berjaya dipilih sebagai finalis sessi pertama. Sebanyak 6 sessi akan diadakan dan tiga finalis akan dipilih bagi setiap sessi untuk ke pertandingan Grand Final yang akan diadakan di Grand Arena All Stars genting Highland.

Alhamdulillah, walaupun Jamilah nampak sedikit nervous dia telah berjaya menjadi Johan di dalam sesi 1 pertandingan tersebut.