Tuesday 31 December 2013

Konsert Sulaman Warisan -Suatu Kejayaan

"Tahniah!". Itulah ucapan ringkas dari Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) sambil tersenyum berjabat salam selamat tinggal kepada penulis selepas menyaksikan konsert solo ulung Jamilah Abu Bakar. Walaupun hanya satu perkataan, ucapan tersebut sangat bermakna dan bernilai kepada Jamilah Abu Bakar.

Tun Dr. Mahathir adalah negarawan dan pemikir yang ulung. Apa yang diucapkan adalah datang dari hati beliau. Penulis pernah ketika berkhidmat di Petronas dahulu dan Tun M masih menjadi Perdana Menteri mendengar betapa kritisnya beliau memberi komen terhadap suatu "presentation" yang diberikan oleh Presiden Petronas kepada beliau. Jadi apabila mendapat ucapan tahniah dari Tun M, penulis tidak ragu-ragu lagi konsert Jamilah memang berjaya. Penulis juga yang duduk selang satu kerusi dengan Tun M iaitu di sebelah Prof. Dr. Hatta, Rektor ASWARA nampak Tun M memberi tepukan permulaan kepada setiap nyanyian oleh Jamilah, Haqim Anuwar dan Edie Nazrin. Kemudian barulah penonton-penonton lain mengikutnya.

Sebagai insan kerdil, penulis sangat-sangat berterima kasih kepada Tun M dan Tun Dr. Siti Hasmah yang sudi menjadi Tetamu Khas Konsert Sulaman Warisan Jamilah Abu Bakar. Tun Dr. Siti Hasmah sememangnya prihatin dengan perkembangan kareer Jamilah di bidang pelajaran dan nyanyian. Beliau pernah menulis surat kepada editor Utusan Malaysia tentang kematian Wawang Wijaya, guru keroncong Jamilah dan harapan beliau agar Jamilah dapat meneruskan nyanyian beliau di bidang keroncong. Setiap kali kami ke majlis rumah terbuka hari raya beliau, beliau akan memeluk Jamilah seperti cucu beliau sendiri. Beliau tidak pernah ketinggalan menyaksikan Jamilah di persembahan keroncong di Dewan Filharmonik Petronas. Baru-baru ini beliau sekali lagi menyaksikan Jamilah di Konsert Kenangan Keroncong Malaysian Philharmonic Youth Orchestra di Alor Setar yang turut juga disaksikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Permaisuri Agong.

Penulis juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Rektor Aswara, Prof. Dr. Hatta Azad Khan yang memberi sokongan terhadap konsert Jamilah. Terima kasih juga kepada seluruh warga kerja Aswara yang diketuai oleh Encik Sabri Buang, Dekan Fakulti Pengurusan Budaya dan Warisan dan Encik Ramlan Imam, Dekan Fakulti Muzik.

 Terima kasih khas diucapkan kepada Encik Bahizal Abu Bakar, pelajar Pasca Siswazah Aswara yang sangat cemerlang sebagai Pengurus Konsert. Semuanya menjadi kenangan manis.....