Sunday 25 August 2013

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Pepatah Melayu mengatakan "Tak Kenal Maka Tak Cinta". Demikianlah cinta Jamilah kepada lagu-lagu irama Melayu Asli, Zapin dan Inang.

Segala-galanya bermula apabila Jamilah dianugerahkan Geran mentor-Mentee oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) pada bulan April 2013 lepas. Di bawah skim ini Jamilah telah diberikan elaun RM1,800.00 sebulan untuk belajar irama Melayu Asli dengan Mentor Samsudin Lamin di Paya Jaras, Selangor. Maka berulang-aliklah kami ke studio beliau setiap minggu mengharungi kesesakan Jalan MRR2 dari Ampang ke Paya Jaras. Pengorbanan dan kesabaran yang sangat berbaloi kerana Samsudin Lamin yang merupakan Johan Bintang Asli Radio Malaya tidak lokek menurunkan ilmu beliau kepada Jamilah. Sekali sekala Jamilah diajak oleh Samsudin Lamin membuat persembahan bersama beliau di Perbadanan Kraftangan Negara dan di Putrajaya.

Kalau dulu Jamilah tidak menggemari lagu-lagu asli. Maklumkan sejak dari umur 11 tahun lagi beliau asyik bersama kumpulan Keroncong Hj. Abdullah Safri di Shah Alam, Kumpulan Keroncong Abdul Rahim Anuar di Sijangkang dan Kumpulan Keroncong Hj. Mahzan Manan. Sebut apa sahaja jenis lagu keroncong dia akan menyanyikan dengan sepenuh perasaan. Kemuncak pencapaiannya di bidang keroncong ialah bila konduktor terkenal Muriz Rose memberi kepercayaan kepada Jamilah untuk mengadakan Konsert Keroncong Kasih di Dewan Filharmonik Petronas pada tahun 2010 dan Konsert Keroncong Merdeka pada tahun 2012.

Kini dimensi baru nyanyian Jamilah adalah di dalam nyanyian lagu-lagu Melayu Asli. Terima kasih Samsudin Lamin. Terima kasih JKKN.

Di bawah program Mentor-Mentee, Jamilah akan mengadakan Konsert Solo nyanyian lagu-lagu tradisional pada 28 Disember 2013. Persiapan sedang rancak diatur dengan bantuan Sdr. Bahizal Abu Bakar, pengarang buku "Pengurusan Konsert" untuk mengadakan konsert tersebut di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur. Pengarang juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Sdr. Sabri Buang, Dekan Fakulti Persembahan ASWARA dan Dr Mohamad Hatta, Rektor ASWARA yang memberi sokongan terhadap konsert ini.