Monday, 15 September 2014

Menungkah Arus

Ketika ramai penyanyi dan pelakon dari seberang Tambak Johor berlumba-lumba datang ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib di Malaysia, Jamilah nampaknya menungkah arus mencuba nasib di Singapura. Pada bulan September tahun lepas, Jamilah membuat Konsert Keroncong bersama Datin Julie Sudiro dan R Ismail di Singapura. Sambutan dari peminat-peminat irama keroncong di sana sangat diluar dugaan. Tiada ruang langsung dapat bergerak kerana dipenuhi oleh penonton.

Pada 2 November 2014 ini Jamilah sekali lagi dijemput ke Singapura untuk membuat persembahan Konsert Lagu-lagu Melayu Asli bersama Orkes Gipsy Lautan. Demikianlah nampaknya orang di sana lebih menilai dan menghargai keupayaan anak Segamat ini. Bukannya mengeluh dengan sikap acuh-tak acuh TV dan media di sini. Tetapi itulah kenyataannya.

Sunday, 24 August 2014

Selamat Tinggal Syawal

Besok bulan Syawal 1435 akan meninggalkan kita. Hari Raya pada tahun ini disambut secara sederhana. Banyak agensi-agensi kerajaan dan swasta membatalkan sambutan rumah terbuka hari raya sebagai menghormati keluarga yang terlibat di dalam tragedi MH370 dan MH17.

Walau bagaimanapun, terima kasih diucapkan kepada beberapa syarikat swasta yang mengadakan majlis hari raya mereka dan menjemput Jamilah dan Kumpulan Anjung Tradisi membuat persembahan.

Bagi kami di kariah Surau taman Saraya telah mengadakan Majlis Sambutan Raya pada 21 Ogos 2014 dengan mengadakan bacaan Yaasin dan Tahlil sebelum jamuan. Penulis sebagai Pengerusi Surau Taman Saraya mengucapkan terima kasih kepada lebih 200 orang hadirin yang menyerikan majlis pada malam tersebut Sempena Hari Raya ini juga ASWARA telah menerbitkankan sebuah album raya bertajuk "Rindu". Album ini memuatkan 7 lagu baru yang dinyanyikan oleh pelajar-pelajar ASWARA. Jamilah menyanyikan satu lagu solo bertajuk Ikatan Lebaran dan berpadu suara dengan Haqim Anuwar menyanyikan lagu Syawal Menjelma.

Monday, 28 April 2014

Festival Nasi Ambeng

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Selangor telah mengadakan Festival Nasi Ambeng pada 19 dan 20 April 2014. Program selama dua hari tersebut telah diadakan di Homestay Banghuris, Sungai Pelek, Sepang Selangor.

Berbagai program telah diatur sepanjang dua hari tersebut. Di antaranya termasuklah pertandingan Memasak Nasi Ambeng, Pertandingan Memancing, Pertandingan Gusti Lengan dan Pertandingan Karaoke.

Pada Malam Penutup Festival Nasi Ambeng, pengunjung telah disajikan dengan masakan Nasi Ambeng dan persembahan kebudayaan dan nyanyian oleh Herman Tino, Raftah Bachik dan Jamilah Abu Bakar. Turut hadir di majlis penutup malam itu dalah Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Dato' Norliza Rofli.

Tahniah kepada Pengarah dan Kakitangan JKKN Selangor yang berjaya menganjurkan Festival Nasi Ambeng 2014.


Konsert Simfoni Warisan

Pada 30hb Mac 2014 telah berlangsung Konsert Simfoni Warisan di Auditorium Tuanku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sungai Gadut, Seremban , Negeri Sembilan.

Konsert ini diadakan sempena Hari Keputeraan D.Y.M.M Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus. Konsert yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menggabungkan 74 orang pemuzik-pemuzik dari RTM, DBKL, UKM dan ASWARA.

Di samping itu 3 orang personaliti dari ASWARA dijemput untuk mewarnai persembahan. Jamilah Abu Bakar, penerima Anugerah Pelajar Terbaik Tahun 1 Diploma Aswara 2014 dijemput untuk menyanyikan lagu " Adat Perpateh : Ikhlas Sehati" ciptaan Ramlan Mohd Imam. Lagu ini telah diangkat sebagai lagu "Art Song" Negeri Sembilan. Jamilah juga menyanyikan lagu "Ubekkan Denai", lagu yang disusun untuk persembahan oleh Roslan Mohd Imam.

Sementara itu, Ayesha Hassan, pelajar ASWARA yang menerima Anugerah Rektor Tahun 2008 dan 2012 menunjukkan kebolehan bermain violin di dalam lagu "Cantek Manih". Manakala Shazana Darawin, graduan Aswara di bidang muzik Callempong membuat persembahan lagu " Merbau & Kelok 9".

Pengarah Muzik dan Konduktor Orkestra Konsert Simfoni Warisan ini adalah Encik Ramlan Mohd Imam, Dekan Fakulti Muzik ASWARA manakala Encik Ruslan Mohd Imam bertindak sebagai Penggubah Muzik dan Konduktor Orkestra bagi Sessi kedua.

Tutut menyaksikan Konsert yang julung kalinya diadakan ini adalah DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir dan Menteri Besar Negeri Semblan, Dato' Seri Utama Hj. Mohamad bin Hj Hasan.





Saturday, 15 March 2014

Vokal Jamilah di dalam filem Sleeping Beauty

Pagi tadi jam 10.00 Astro menyiarkan filem karton klasik Sleeping Beauty. Alihbahasa filem itu ke Bahasa Malaysia sebenarnya melibatkan penyertaan Jamilah.

Segalanya bermula apabila Saudara Azmi yang merupakan Penolong Pengarah filem dokumentari Angin Menderu terbitan Finas memperkenalkan kami dengan Min Malik, seorang penyanyi angkatan 90an. Beliau telah membawa Jamilah untuk uji-bakat menyanyi untuk filem Sleeping Beauty di Kelana Jaya pada bulan Disember 2013 lepas. Walaupun sibuk dengan persiapan konsert solo Sulaman Warisannya, Jamilah tidak mahu terlepas peluang keemasan seperti ini.


Tuesday, 31 December 2013

Konsert Sulaman Warisan -Suatu Kejayaan

"Tahniah!". Itulah ucapan ringkas dari Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) sambil tersenyum berjabat salam selamat tinggal kepada penulis selepas menyaksikan konsert solo ulung Jamilah Abu Bakar. Walaupun hanya satu perkataan, ucapan tersebut sangat bermakna dan bernilai kepada Jamilah Abu Bakar.

Tun Dr. Mahathir adalah negarawan dan pemikir yang ulung. Apa yang diucapkan adalah datang dari hati beliau. Penulis pernah ketika berkhidmat di Petronas dahulu dan Tun M masih menjadi Perdana Menteri mendengar betapa kritisnya beliau memberi komen terhadap suatu "presentation" yang diberikan oleh Presiden Petronas kepada beliau. Jadi apabila mendapat ucapan tahniah dari Tun M, penulis tidak ragu-ragu lagi konsert Jamilah memang berjaya. Penulis juga yang duduk selang satu kerusi dengan Tun M iaitu di sebelah Prof. Dr. Hatta, Rektor ASWARA nampak Tun M memberi tepukan permulaan kepada setiap nyanyian oleh Jamilah, Haqim Anuwar dan Edie Nazrin. Kemudian barulah penonton-penonton lain mengikutnya.

Sebagai insan kerdil, penulis sangat-sangat berterima kasih kepada Tun M dan Tun Dr. Siti Hasmah yang sudi menjadi Tetamu Khas Konsert Sulaman Warisan Jamilah Abu Bakar. Tun Dr. Siti Hasmah sememangnya prihatin dengan perkembangan kareer Jamilah di bidang pelajaran dan nyanyian. Beliau pernah menulis surat kepada editor Utusan Malaysia tentang kematian Wawang Wijaya, guru keroncong Jamilah dan harapan beliau agar Jamilah dapat meneruskan nyanyian beliau di bidang keroncong. Setiap kali kami ke majlis rumah terbuka hari raya beliau, beliau akan memeluk Jamilah seperti cucu beliau sendiri. Beliau tidak pernah ketinggalan menyaksikan Jamilah di persembahan keroncong di Dewan Filharmonik Petronas. Baru-baru ini beliau sekali lagi menyaksikan Jamilah di Konsert Kenangan Keroncong Malaysian Philharmonic Youth Orchestra di Alor Setar yang turut juga disaksikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Permaisuri Agong.

Penulis juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Rektor Aswara, Prof. Dr. Hatta Azad Khan yang memberi sokongan terhadap konsert Jamilah. Terima kasih juga kepada seluruh warga kerja Aswara yang diketuai oleh Encik Sabri Buang, Dekan Fakulti Pengurusan Budaya dan Warisan dan Encik Ramlan Imam, Dekan Fakulti Muzik.

 Terima kasih khas diucapkan kepada Encik Bahizal Abu Bakar, pelajar Pasca Siswazah Aswara yang sangat cemerlang sebagai Pengurus Konsert. Semuanya menjadi kenangan manis.....