Tuesday 3 May 2011

Jamilah di Kosmo 4 Mei 2011


Keroncong berbunga di hati Jamilah
Oleh Sahlizah Mohamed – Kosmo 4 Mei 2011

Tidak pernah terlintas dalam minda gadis berumur 16 tahun ini bahawa dia akan memiliki sebuah album rakaman, apatah lagi apabila semua lagu dendangannya dirakam dalam irama keroncong.

Segala-galanya bermula kira-kira enam tahun lalu apabila Jamilah Abu Bakar yang pada ketika itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Teratai di Ampang dekat Kuala Lumpur dipilih untuk mewakili sekolahnya ke Pertandingan Keroncong Remaja peringkat Negeri Selangor.

Namun pada hari pertandingan itu Jamilah diberitahu dia masih belum layak untuk menyertai pertandingan tersebut kerana belum cukup umur, tetapi diberi pelepasan untuk menyanyi sebagai penyanyi jemputan.

“Saya tidak kisah kerana masih lagi diberi peluang untuk menyanyi. Pada waktu itu memang saya rasa takut dan gementar kerana itulah kali pertama saya menyanyi di hadapan orang ramai

“Percaya atau tidak, ketika menyanyi saya pegang kertas yang mengandungi lirik kerana terlalu gemuruh. Bermula dari situlah saya mula menggemari irama keroncong sehingga ke hari ini” kata Jamilah ketika ditemui di Irama Studios Puchong, Selangor baru-baru ini.

Bertitik tolak daripada pertandingan tersebut, kelunakan suara Jamilah melantunkan irama keroncong mendapat perhatian salah seorang juri pertandingan, Abdullah Safri. Dua tahun kemudian Jamilah sekali lagi dijemput selaku penyanyi undangan dalam pertandingan sama sehingga dia dipertemukan dengan komposer keroncong dari Indonesia yang sudah tidak asing lagi, Wawang Wijaya.

“Bagaimanapun saya hanya sempat mempelajari keroncong daripadanya selama tiga tahun sahaja sebelum dia meninggal dunia pada tahun 2009

“Setelah pemergian Wawang, saya berlatih pula dengan komposer lagu keroncong iaitu Mahzan Manan sejak dua tahun lalu,” tutur gadis berkulit cerah itu.

Selain dijemput selaku penyanyi jemputan pada majlis-majlis formal atau perkahwinan, jamilah juga cukup bertuah kerana dia sudah lima tahun berturut-turut dijemput untuk membuat persembahan setiap kali berlangsungnya majlis konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Cinta Jamilah kepada keroncong semakin menebal dari sehari ke sehari dan pada masa sama dia menerima sokongan padu daripada ibu bapanya termasuk juga daripada kalangan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik Ampang.

“Alunan lembut irama keroncong amat berbeza dengan muzik-muzik lain. Pada pandangan saya, keroncong adalah sejenis muzik kelas atasan yang sering didengari oleh golongan diraja dan elit.

“Lirik keroncong amat puitis dan penggunaan bahasa juga amat romantik selain sebutan Bahasa Melayu yang tepat. Itu yang membuatkan keroncong sedap didengar,” jelas anak ketujuh daripada Sembilan beradik itu.

Sebagai langkah untuk berkongsi muzik keroncong dengan pendengar, Jamilah dengan bantuan Mahzan kini dalam proses untuk menghasilkan sebuah album keroncong yang mengandungi 12 buah lagu.

Mula memasuki studio pada bulan November lalu, Jamilah sudah selesai merakamkan 10 buah lagu yang dicipta oleh Mahzan, bapanya sendiri Abu Bakar Ismail dan beberapa komposer yang turut menyumbangkan gubahan lagu untuk didendangkan oleh Jamilah.

“Saya amat seronok, tetapi alam masa yang sama berasa sedikit tertekan kerana semuanya perlu sempurna.
“Ada juga pantang larang yang perlu saya jaga seperti tidak boleh minum minuman berais, tidak boleh menjamah makanan yang pedas selain saya turut amalkan meminum madu setiap hari,” katanya yang memperuntukkan satu jam sehari untuk berlatih vokal di rumah.

Masih belum meletakkan judul album, hasil bakat Jamilah tersebut dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan sebelum Jamilah dan bapanya merangka perancangan seterusnya iaitu untuk melancarkan dan mempromosikannya.

“Saya amat berharap agar album itu nanti akan dapat diterima oleh semua golongan. Lagu-lagu dendangan saya bukan hanya untuk golongan dewasa, malah turut disasarkan juga kepada golongan muda-mudi seperti saya,” ujar Jamilah yang mengangumi penyanyi keroncong dari Indonesia, Tuti Tri Sedya.


Persembahan di Pertandingan Keroncong Remaja Selangor di MPAJ 2005


Jamilah di Konsert Keroncong Kasih Menyusur Zaman Petronas 2010


Lagu Ratu Hatiku di dalam album baru Jamilah

1 comment: