Tuesday 30 November 2010

Keroncong Baru Warisan Zaman Mahzan Manan

Pertandingan Cipta Lagu Irama Malaysia yang berlangsung pada 24 Julai 2010 telah membuktikan bahawa irama Keroncong boleh terus mengharungi zaman melengkapi semua rentak irama-irama Malaysia. Lagu berentak Keroncong "Inginkan Kedamaian" ciptaan Mahzan Manan telah dipilih oleh juri-juri professional sebagai juara pertandingan tersebut.

Hj Mahzan Manan adalah orang lama di dalam bidang penciptaan lagu-lagu. Lagu "Ke Mana Kubawa Diri" dan "Hati Seorang Kekasih" nyanyian Noor Kumalasari adalah di antara lagu-lagu "hit" yang dihasilkan oleh beliau. Beliau juga ada mencipta lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Sudirman Hj, Arshad, Sharifah Aini, DJ Dave, dan ramai lagi penyanyi angkatan 70an dan 80an.

Namun lagu-lagu rentak keroncong, asli dan nasyid adalah rentak-rentak yang sangat digemari oleh beliau. Tokoh muzik yang mempunyai studio muzik sendiri, Irama Studios di Puchong, Selangor menyimpan lebih dari 1,000 judul lagu-lagu yang masih belum diterbitkan.

Terangsang dengan kemenangan beliau di dalam Pertandingan Cipta Lagu Irama Malaysia 2010, Mahzan Manan yang melangkah ke umur 76 tahun pada tahun ini mula mengorak langkah menerbitkan sebuah album penuh Keroncong, kesemuanya ciptaan beliau. Beliau memilih penyanyi remaja yang menyanyikan lagu beliau di malam Pertandingan Cipta Lagu Irama Malaysia 2010, Jamilah Abu Bakar untuk album tersebut.

Album ini akan merupakan album penuh keroncong yang pertama di Malaysia. Sebelum ini lagu-lagu keroncong diselitkan bersama-sama rentak lain di dalam album-album yang dihasilkan oleh penyanyi-penyanyi Malaysia.

Lirik lagu-lagu keroncong untuk album yang memuatkan 12 lagu ini ditulis oleh penulis lirik terkenal, pakar bahasa, peguam, termasuk juga bapa penyanyi Jamilah Abu Bakar. Lagu-lagunya meliputi keroncong Langgam, Keroncong Asli dan Stambul.

Setakat ini 6 buah lagu telah siap dirakamkan dan album ini dijangka akan mula memasuki pasaran pada awal tahun 2011.

No comments:

Post a Comment