Tuesday 15 June 2010

Mengangkat Darjat Keroncong

 Farihad Shalla Mahmud (Berita harian 15 Jun 2010)

PADA akhir abad ke-19, muzik keroncong berkembang dan menambat hati penduduk di negara ini dari kepulauan Jawa. Di Johor terutamanya, keroncong cukup dekat di hati penggemarnya.

Buktinya, terdapat slot khas di stesen radio swasta negeri itu, Best 104 yang menyiarkan lagu keroncong. Bukan saja iramanya yang berjaya menangkap pendengaran tetapi lenggok nyanyiannya yang mendayu-dayu, boleh buat tangkai hati pendengarnya bagai dihiris-hiris.

Begitulah keramatnya irama keroncong sehingga ia pernah menjadi genre muzik yang digemari seluruh rakyat Malaysia pada dasarnya. Biarpun zaman berlalu dan pelbagai genre muzik muncul namun keroncong tak pernah mati.

Justeru, untuk menyemarakkan irama yang lahir dari bunyian tujuh alat muzik seperti biola, flute, gitar, cak, cuk, cello dan double bass, Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) atas inisiatifnya mempersembahkan Keroncong Kasih - Menyusur Zaman yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), baru-baru ini selama dua hari berturut-turut.

Sebaik menjejakkan kaki di kawasan lobi, kelihatan penonton dari pelbagai lapisan usia di pintu masuk DFP. Masing-masing terpancar perasaan teruja dan tidak sabar untuk menyaksikan persembahan bermula. Pemandangan itu sekali gus memadamkan sangkaan awal mengatakan keroncong hanya diminati golongan berusia saja.

Saat pengacara memberikan kata-kata aluan, penonton memberikan sepenuh perhatian apa yang berlaku di atas pentas. Selepas seorang demi seorang pemuzik tampil di atas pentas, maka konsert bermula.

Memulakan persembahan ialah Adilla Idris dengan mengalunkan lagu Keroncong Kuala Lumpur yang dicipta oleh Tan Sri P Ramlee. Tidak dinafikan, vokal Adilla sebati dalam irama yang mendayu itu sekali gus membuat penonton larut dibuai keasyikan melodi berkenaan.
Selepas Adilla, giliran penyanyi cilik yang usianya baru mencecah 15 tahun. Adik Jamilah Abu Bakar membuktikan bahawa lagu keroncong bukanlah milik mutlak mereka yang berusia. Mungkin dari segi pengalaman, penyanyi ini masih hijau namun dari segi vokal, jika diberi masa dan terus diasah, tidak mustahil dia boleh menjadi penyanyi lagu keroncong yang disegani.

Lagu Senandung Lagu Lama yang pernah dipopularkan oleh Kartina Dahari, 15 tahun lalu disampaikannya dengan berkesan termasuk tiga lagu lain seperti Aku dan Dia, Semalam di Putrajaya dan Selamat Tinggal Bungaku.

Keindahan melodi keroncong terus dinikmati menerusi nyanyian Bob Yusof yang diketahui mempunyai mutu vokal yang hebat. Bermula dengan lagu Keroncong Untuk Ana, sehinggalah paduan suaranya dengan penyanyi malar segar, Datuk Yusni Hamid menerusi lagu Uda dan Dara, semuanya amat menghiburkan. Nyanyiannya umpama satu rintihan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Paling dinanti-nanti, pastinya persembahan Yusni yang menyampaikan beberapa buah lagu pada malam itu. Tidak keterlaluan andai dikatakan, keroncong memang sesuai dengan vokalnya yang gemersik itu. Perasaan dibuai rasa syahdu sewaktu penyanyi ini menyampaikan lagu Tinggallah dan Pergi, lagu ciptaan Aizat yang digubah susunannya menjadi irama keroncong.

Bersesuaian dengan namanya konsert Keroncong Kasih - Menyusuri Zaman yang memakan masa dua jam itu turut menyajikan lagu dari pelbagai era, sejajar dengan objektifnya untuk menarik perhatian generasi lama supaya menghayati kembali muzik itu dan semoga generasi masa kini dapat mendekatkan diri seterusnya mengenali irama yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

Persembahan malam itu dibahagikan kepada dua segmen. Segmen pertama, hadirin diperdengarkan dengan lagu keroncong yang diiringi ensembel keroncong. Segmen kedua, menyaksikan penonton dihiburkan dengan persembahan bentuk simfoni orkestra dan lebih bersifat kontemporari hasil pimpinan konduktor dan pengarah muzik DFP, Ahmad Muriz Che Rose. Semua muzik keroncong ini digubah semula oleh 10 penggubah KSPP dengan bantuan tokoh muzik keroncong terkenal, Mahzan Manan.

Apa yang pasti, usaha KSPP melalui penerbitnya Hartini Abdullah wajar mendapat pujian kerana ia bukan saja menyemarakkan lagi muzik keroncong tetapi juga mengangkat darjat martabat muzik itu ke tempat yang lebih tinggi dan berprestij. 


No comments:

Post a Comment