Saturday 29 August 2009

SEPAGI BERSAMA MAHZAN MANAN

Hari Sabtu 22 Ogos 2009 adalah hari puasa pertama umat Islam di Malaysia. Penulis telah berkesempatan berjumpa dengan Tuan Hj Mahzan Manan di studio rakaman beliau, Irama Studio yang terletak bersebelahan dengan Pasaraya Tesco Puchong. Sebenarnya telah beberapa kali Tuan Hj Mahzan menelefon penulis mengajak berbincang tentang halatuju muzik keroncong Malaysia dan kemungkinan Jamilah merakamkan lagu-lagu keroncong Malaysia, yang mana lagu-lagunya, liriknya, pancaragamnya dan penyanyinya 100% Malaysia.

Memang sesungguhnya negara kita ketandusan lagu-lagu keroncong yang boleh dibanggakan. Cuma beberapa lagu keroncong ciptaan Allahyarham P. Ramlee yang boleh diingati seperti Keroncong Kuala Lumpur, Alunan Biola, dan Sayang DiSayang. Kebelakangan ini ada usaha-usaha untuk memartabatkan kembali lagu-lagu keroncong. Maka terbitlah lagu-lagu seperti Hujan nyanyian Adibah Noor dan lagu nasyid Keroncong Kasih Sayang persembahan kumpulan UNIC. Tidak ketinggalan lagu Keroncong Untuk Ana oleh Sifu M Nasir.

Di peringkat negeri pula kerajaan Negeri Johor terus aktif mengetengahkan muzik keroncong. Tetapi bagaimana dengan negeri-negeri lain?. Kerajaan negeri Selangor semasa pimpinan Datuk Seri Mohd Khir Toyo pada tahun 2007 telah mengistiharkan Keroncong sebagai muzik negeri Selangor. Malangnya setelah Kerajaan Baru pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil alih, muzik keroncong telah dipinggirkan. Langkah Perbadanan Putrajaya menganjurkan persembahan Keroncong pada setiap hari Sabtu terakhir setiap bulan di Laman Seni Putrajaya memang patut dipuji. Demikian juga UKM yang menjemput kumpulan keroncong mengiringi majlis penyampaian ijazah pada setiap konvokesyennya harus disanjungi.

Bagi Tuan Hj Mahzan Manan, keroncong adalah darah-dagingnya. Dalam usia beliau yang senja (76 tahun) beliau masih terus mencipta lagu-lagu keroncong, samada lagu-lagu stambul, asli mahupun keroncong modern. Di dalam simpanan beliau ada lebih dari 200 lagu-lagu keroncong ciptaan beliau yang menunggu untuk dinyanyikan. Beliau ada mengiklankan mencari penyanyi-penyanyi muda yang berbakat, tetapi penyanyi-penyanyi muda yang boleh diketengahkan di dalam nyanyian keroncong sangat kurang.

Ada orang yang berpendapat halangan besar di dalam menerbitkan lagu-lagu keroncong Malaysia ialah pasaran yang terbatas. Tetapi menurut Tuan Hj Mahzan, pasaran lagu-lagu keroncong Malaysia masih belum diuji lagi. Dengan bilangan warga Malaysia yang melebihi usia 40 tahun yang ramai dan muzik keroncong juga diminati oleh pelbagai kaum, terutamanya kaum Cina, pasaran lagu-lagu keroncong tetap ada.

Sekiranya ada orang-orang perseorangan dan badan badan korporat yang mencintai lagu-lagu keroncong tampil menaja rakaman lagu-lagu keroncong oleh Tuan Hj Mahzan Manan, kita akan berbangga akhirnya Malaysia mempunyai khazanah lagu-lagu keroncongnya sendiri.

No comments:

Post a Comment