Thursday, 9 May 2013

Program Mentor-Mentee Geran Kakiseni - Jamilah Terpilih

Berita terbaharu yang diterima daripada Kakiseni semalam memaklumkan bahawa Jamilah telah terpilih menyertai Program Mentor-Mentee kelolaan Kakiseni.

Satu sidang akhbar akan dibuat pada hari Khamis, 16 Mei 2013 di JKKN Kuala Lumpur.

Melalui program ini Jamilah akan ditaja berlatih menyanyi lagu-lagu Melayu Asli dengan seorang tokoh lagu-lagu Melayu Asli, Samsuddin Lamin selama 6 bulan.


Monday, 15 April 2013

Selamat Bertanding Zulkarnain Ismail di DUN 11 Gunung Semangggol

Jam 1 pagi tadi penulis menerima SMS dari adik penulis yang bongsu dari sembilan orang adik beradik memaklumkan beliau terpilih sebagai calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Gunung Semanggol. Beliau memohon restu dan doa dari penulis. Kemudian diikuti pula dengan SMS dari abang penulis yang sulung di Keratong, Pahang memberitahu perkara yang sama.

Sebenarnya di dalam keluarga adik-beradik kami seramai 9 orang mempunyai fahaman politik yang berbeza. Separuh menyokong Barisan Nasional dan separuh lagi menyokong PAS. Namun kami tidak pernah membiarkan fahaman politik yang berbeza memecahkan persaudaraan kami. Semoga berterusan begini hendaknya. Ingat dan sedekahkan Al-Fatihah kepada ayahanda dan bonda kita. Sebagai Imam di Masjid Sungai Kepar semasa hayatnya ayahanda memang matang tidak pernah mengutuk mana-mana parti politik, walaupun beliau adalah penyokong BN.

Tuesday, 9 April 2013

Keputusan 10A SPM Jamilah Abu Bakar



Pagi 21 Mac 2013, telefon bimbit penulis dihujani dengan panggilan telefon dan SMS. Pada hari itu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia akan diumumkan. Penulis dan isteri pagi-pagi lagi telah bersiap untuk menghantar Jamilah ke sekolahnya untuk mengambil keputusan peperiksaannya.

Lama juga menunggu di depan pintu sekolah kerana rupanya Majlis Khas akan diadakan untuk mengumumkan pelajar-pelajar yang cemerlang di sekolahnya - Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik, Ampang.

Sebenarnya keputusan awal SPM boleh diketahui melalui pesanan SMS. Tetapi Jamilah samada tidak mahu atau tidak berani SMS untuk mengetahui keputusannya. Sudah seminggu meragam di rumah - semua yang dibuat tidak kena.

Dalam pada menunggu sebelum majlis bermula, penulis menerima panggilan telefon dari Cikgu Tukinah, Guru Penolong Kanan SMKTT yang bertanya samada penulis berada bersama Jamilah di sekolah atau tidak. Bila penulis menjawab "ya" Cikgu Tukinah terus mematikan telefon. Makin berdebar rasanya menunggu keputusan.  Sebenarnya Cikgu Tukinah banyak mengambil berat tentang pelajaran dan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum Jamilah. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas sumbangan beliau.

Tiba masa yang dinantikan....... Semuanya menjadi sejarah dalam hidup Jamilah.


Monday, 25 March 2013

Biodata Jamilah Abu Bakar



Nama JAMILAH ABU BAKAR
Umur : 18 Tahun - Tarikh Lahir 27/8/1995
Kelulusan Akademik : Sijil Pelajaran Malaysia (10A)
Kelulusan Vokal : Australian Guild Music & Speech Examination Board Examination 2011 - Level 7 (Distinction)

Jamilah Abu Bakar  : anak ke-7 dari 9 orang adik beradik. Mula menyanyi ketika berumur 10 tahun dengan mewakili sekolah ke Pertandingan Keroncong Remaja Selangor. Walaupun tidak "layak" kerana dikira belum remaja, nyanyiannya menarik perhatian seorang juri pertandingan, Hj. Abdullah Safri lalu melatih Jamilah menyanyi lagu-lagu keroncong.

Jamilah juga belajar keroncong dengan Wawang Wijaya, seorang pakar keroncong dari Indonesia selama 5 tahun sehingga kematiannya pada 26 Jun 2009. Selepas itu Jamilah belajar keroncong dengan Hj. Mahzan Manan dan Abdul Rahim Anuar.

Di samping itu Jamilah juga belajar menyanyi lagu-lagu kontemporari dan pop dengan Ludwig Medrano di The Singing Shop. Jamilah menduduki peperiksaan “Australian Guild Music & Speech Examination Board 2011 - Level 7” pada tahun 2011 dan mendapat keputusan cemerlang.

Di bidang persembahan, Jamilah adalah penyanyi Kumpulan Keroncong Putrajaya yang sering membuat persembahan keroncong di Laman Seni Putrajaya. Jamilah juga selama 7 tahun telah membuat persembahan bersama Kumpulan Keroncong Fajar Baru di Majlis Santapan Tengahari Tuanku Cansellor Universiti Kebangsaan Malaysia di Majlis Konvokesyen UKM.

Pencapaian di bidang nyanyian
1.    Dipilih oleh Dewan Filharmonik Petronas membuat Konsert Keroncong pada tahun 2010 dan 2012.
2.    Finalis Bintang Klasik RTM 2012.
3.    Johan MFace/Mingguan Malaysia 2Minutes 2Fame Pusingan Pertama di Pulau Pinang 2012.
4.    Mendapat Anugerah Pencapaian Cemerlang Kokurikulum Ke-3 Negeri Selangor 2011.
5.    Membantu Hj. Mahzan Manan menyanyikan Lagu “Keroncong Inginkan Kedamaian”    
       memenangi Pertandingan Cipta Lagu Irama Malaysia 2010.
6.    Mewakili Malaysia ke International Children Festival di Turki pada 2007.
7.    Johan Bintang Kecil RTM Selangor 2007
8.    Johan Karaoke Terbuka Tahun Melawat Malaysia 2007
9 .   Johan KLPAC (Kuala Lumpur Performing Art Center)  Idol 2009
10.  Dipilih oleh Finas menyanyi di dalam filem dokumentari Angin Menderu pada bulan Januari 2013.
11.  Johan Pertandingan Nyanyian Solo Sekolah-Sekolah Daerah Hulu Langat pada tahun 2011
12.  Membuat persembahan di Konsert Diraja Kementerian Pelajaran Malaysia 2005

Tuesday, 5 February 2013

Bakat dan Persada Seni Muzik Masakini

Asmani55 di klip video "Jamilah at launching of My Beautiful Malaysia" menulis begini :

"Syabas Cik Jamilah. You are one very talented Malaysian. I've watched many of your videos and like Japanese song covers very much. My question is, why not go into music industry and expose your talent while making a star out of yourself? (while you are young)."

Persada industri muzik tanah air tidak lagi seperti di zaman 70an dan 80an. Kalau dahulu syarikat-syarikat rakaman muzik mencari penyanyi-penyanyi, keadaan sebaliknya berlaku pada masa ini. Syarikat-syarikat rakaman tidak lagi berani mengeluarkan modal untuk membuat rakaman lagu-lagu, terutama oleh penyanyi-penyanyi yang belum ada nama.

Penyanyi perlu mengeluarkan modal sendiri jika mahu membuat rakaman. Untuk menghasilkan sebuah lagu memerlukan lebih-kurang RM5000. Maknanya untuk menghasilkan sebuah album mengandungi 10 lagu memerlukan penyanyi atau sesiapa yang berani sponsor penyanyi itu mengeluarkan modal RM50,000. Ini tidak termasuk perbelanjaan untuk promosi.

Jadi bagi penyanyi yang ingin mengetengahkan bakat mereka, jalan yang paling mudah dan murah adalah melalui Youtube dan Facebook. Di samping itu cuba-cuba juga memasuki pertandingan-pertandingan  nyanyian yang bersesuaian. Alhamdulillah Jamilah telah berjaya sehingga ke peringkat akhir Pertandingan Bintang Klasik 2012. Dan pada bulan Mac ini Jamilah akan bertanding di peringkat Grand Final Mface Pancaindera 2Minutes 2Fame.

Sekiranya ada sesiapa yang mempunyai modal dan percaya dengan bakat yang ada pada Jamilah, kami dengan besar hati sedia berbincang untuk kerjaya Jamilah.

Monday, 14 January 2013

Sementara menunggu Keputusan SPM

Peperiksaan Sjil Pelajaran Malaysia telah berlalu pada pertengahan bulan Disember 2012 lepas. Cuti panjang hujung tahun dan penantian keputusan peperiksaan memang membosankan dan meresahkan jika tidak diisi dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah.

Abah menyuruh Jamilah melancar bacaan Quran di samping berlatih menyanyi. Harap-harap dapat berterusan.

Rupanya keresahan dan kebosanan bukan sahaja dialami oleh Jamilah, malah dialami juga oleh adik-adiknya Habibah dan Ahmad Akmal. Maklumlah latihan dan persembahan oleh Permata Seni Tari telah berakhir. Program Permata Seni untuk tahun 2013 ini belum bermula lagi. Jadi memang sesuatu yang sangat menceriakan, terutamanya bagi Habibah bila Cikgu Zaim dari JKKN menelefon memberitahu ada persembahan di Seri Perdana, Putrajaya pada 12 hb. Januari lepas. Hujan lebat ditambah dengan kesesakan hujung minggu pada hari Jumaat lepas tidak melunturkan semangat Habibah dan Ahmad Akmal untuk ke JKKN Jalan Dato' Onn berlatih tarian baru. Keceriaan dan kerinduan bertemu kawan-kawan terbayang di wajah mereka ketika kami menghampiri bangunan JKKN.

Jamilah juga sangat ceria apabila Puan Syidah dari JKKN memaklumkan bahawa dia juga dijemput membuat persembahan nyanyian di majlis di Seri Perdana tersebut. Memang suatu penghormatan besar bagi anak remaja berusia 17 tahun ini dapat membuat persembahan di kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia.Terima kasih kepada Datuk Norliza Rofli, Ketua Pengarah JKKN yang memungkinkan semua ini

Seterusnya, semua menjadi kenangan manis kepada anak-anak Pak Bakar yang tiga orang ini. Bagi enam lagi anak-anak Pak Bakar teruskan kecemerlangan kamu di bidang masing-masing.

 Di samping itu rakaman untuk album kedua Jamilah di Sutra Studio berjalan dengan lancar. Tabik kepada penerbit A. Ali (bekas anggota Kumpulan Kembara dan Kumpulan Pelangi)yang bertungkus lumus menyediakan lagu dan mengawasi rakaman Jamilah. Setakat ini 6 lagu telah siap dirakam dan menunggu 4 lagu lagi untuk dirakam. Album kedua ini mengandungi lagu-lagu keroncong pop, balada dan latin.

Sementara itu penglibatan Jamilah di dalam filem dokumentari "Angin Menderu" terbitan Finas dijangka mencapai kemuncaknya pada 21 hb Januari ini apabila dia dipanggil untuk membuat persembahan "preview" bersama penyanyi-penganyi angkatan lama di Istana Budaya. Difahamkan tiket-tiket cuma diberi "by invitation" sahaja.


Friday, 11 January 2013

Tom Tom Bak Spesial

Astro Ceria pada 30 Disember 2012 menyiarkan Tom Tom Bak Spesial menonjolkan bakat-bakat yang telah mencipts nama setelah menyertai rancangan Tom Tom Bak sejak 2007. Di antara mereka adalah Jamilah Abu Bakar.