Friday 30 April 2010

Johar Bahar - Syahdunya irama, baiknya seni kata

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN, KHADIJAH IBRAHIM, WANDA IDRIS dan NOOR AZMAH IBRAHIM

Lagu Selamat Tinggal Bungaku kini menjadi ucapan terakhir kepada penciptanya, Allahyarham Johar Bahar kepada dunia seni dan orang yang disayangi. Sejak diciptakan pada 1948, Selamat Tinggal Bungaku tidak pernah usang.

Ciptaan ini menjadi khazanah seni dan salah satu daripada lagu yang meniupkan semangat cintakan tanah air kepada yang menghayatinya.

Selamat Tinggal Bungaku adalah sebuah karya roman perjuangan yang dalamnya ada nilai-nilai romantis dan kecintaan kepada negara. Irama daripada sentuhan Johar yang lembut telah menghantar semangat juang yang tinggi kepada perwira negara.

Ketika negara menjadi rebutan penjajah kemudian bertelingkah dengan saudara serumpun Indonesia, irama dan lagu menjadi wadah untuk mencari ketenteraman, semangat dan penawar kekecewaan. Di sinilah hadirnya manusia seperti Johar yang bercakap dalam bahasa muziknya.

Malah lagu Selamat Tinggal Bungaku dihasilkan daripada milieu zaman perang. Hal yang sama juga berlaku di Indonesia di mana pencipta lagu-lagu patriotik mengambil pendekatan roman perjuangan.

Johar menjadi kesinambungan kepada Ismail Marzuki di Indonesia yang banyak mencipta lagu-lagu patriotik yang popular di negara ini seperti Selendang Sutera, Melati Di Tapal Batas, Bandung Selatan Waktu Malam dan Terang Bulan Di Malaya.

Tetapi ketika mengelegak semangat berjuang, sebahagian besar lagu-lagu patriotik memilih irama march yang rancak. Tetapi Johar mencipta lagu berirama perlahan seperti keroncong untuk menyemarakkan perjuangan.

Menerusi lagu-lagu ciptaannya, Johar memilih untuk menyemaikan kecintaan kepada keindahan negara sebagai pendekatan patriotisme. Apa lagi dengan irama yang perlahan yang memberi ruang kepada minda menterjemah laras kata dan seninya.

Biar pun Johar telah hilang dari pandangan tetapi tetap subur di jiwa sebahagian besar daripada kita. Karya lagu yang ditinggalkan menyeru kepada kecintaan kepada keindahan alam negara ini dan kasih sayang kepada manusianya.

Allahyarham Johar telah menghembuskan nafas terakhir, Sabtu lalu (24 September 2005) pada usia 84 tahun sebenarnya telah lama `hilang' apabila keuzuran membataskan rutin hidupnya. Tetapi allahyarham terus berbakti kepada negara ini apabila kita terasa betapa indahnya negara yang satu ini dalam lagu Banjaran Titiwangsa, Gunung Kinabalu atau Malaysia Tanah Airku.

Hati kita pasti akan berdetik dan berkata, ``Oh indahnya tanah airku'' sebaik saja selesai mendengar Banjaran Titiwangsa yang dinyanyikan semula oleh Broery Marantika akhir 80-an lalu.

Malah kita juga pasti terasa betapa cinta itu menjadi obor perwira ke perbatasan apabila menghayati lagu Pahlawanku nyanyian Saloma dan Selamat Tinggal Bungaku dinyanyikan oleh S.M Salim, Mariam Ahmad dan juga Allahyarham Rafeah Buang.

Bagi kita Allahyarham Johar yang dilahirkan pada 25 Februari 1921 adalah nasionalis. Allahyarham berjuang dengan mencipta lagu bercorak patriotik sekali pun memilih irama yang perlahan dan romantis. Johar tentu percaya bahawa irama yang lembut juga boleh membuatkan manusia dibakar semangat perjuangannya.

Biar pun Johar telah hilang daripada pandangan kita tetapi peninggalannya akan terus memberi manfaat terhadap penghayatan kepada tanah air. Lagu-lagunya adalah karya besar yang tidak akan mengalah dek peredaran zaman, tidak luput dalam lipatan sejarah.

Ketika ini mungkin namanya tidak kerap disebut. Tetapi setiap kali lagunya berkumandang di radio, orang akan mendapat manfaat sekurang-kurang membuatkan mereka berfikir sejenak tentang negara ini.

Selain meninggalkan khazanah muzik, Johar juga meninggalkan anak didiknya yang tidak kurang hebatnya. Antaranya Datuk Ibrahim Bachik dan Datuk Johari Salleh. Sementara salah seorang anaknya, Profesor Madya Khairil Johari Johar menjejaki langkahnya hingga menjadi ahli akademik dalam bidang muzik.

Keindahan seni kata dan irama lagu Banjaran Titiwangsa, Malaysia Tanah Airku atau Gunung Kinabalu adalah hujan emas di negera kita, hujan batu di negara orang.

Pesan orang tua-tua, harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan nama. Tetapi apalah yang ada pada nama kalau tanpa khazanah yang ditinggalkan untuk dimanfaatkan zaman berzaman kemudiannya? Kerana itu Johar bukan saja meninggalkan nama, allahyarham meninggalkan pesan supaya kita mencintai negara ini.

Allahyarham juga meninggalkan ceritera tentang kasih sayang sesama manusia yang tertera dalam syahdunya susun atur irama serta baik seni katanya.

Sunday 18 April 2010

PERSEMBAHAN KERONCONG LAMAN PUTRAJAYA 24 APRIL 2010


Orkes Keroncong Putrajaya akan sekali lagi mengadakan persembahan Keroncong segar di Laman Putrajaya (berhadapan Masjid Putrajaya)pada hari Sabtu 24 April 2010 bermula jam 9 malam. Pengunjung akan dihiburkan dengan lagu-lagu keroncong oleh Jamilah Abu Bakar, Mardiana Alwi, Azmi dan Amir.

Peminat-peminat keroncong jangan lepaskan peluang ini.