Sunday 29 May 2011

Periksa, periksa, periksa!!!

Tiga minggu kebelakangan ini adalah minggu pepriksaan bagi Jamilah.

Peperiksaan penggal persekolahan SMK Taman Tasik bermula dari 2 Mei hingga 19 Mei 2011. Sememangnya peperiksaan perlu untuk menilai tahap penerimaan pelajaran yang diberikan oleh guru. Sekurang-kurangnya memberi peluang kepada kita memperbaiki apa yang kurang. Insya Allah keputusannya dijangka baik.

Kemudian diikuti pula oleh peperiksaan vokal Tahap 3 di Singing Shop, Amcorp Mall, Petaling Jaya. Berkat asuhan oleh gurunya, Ludwig Walet Medrano dan Loardes (orang Filipina), Jamilah melaluinya dengan penuh yakin.

Pada 28 Mei 2011, Jamilah memasuki peperiksaan vokal Gred 7 yang dijalankan oleh Guild - The Australian Public Music and Speech Examination Board. Peperiksaan ini diiktiraf oleh JPA. Jamilah menyanyi empat lagu untuk peperiksaan ini iaitu "I dreamed a dream", "If I ain't got you", "One Moment in Time" dan "Can this be love".

Daripada apa yang diberitahu, pemeriksa Guild "terpesona" dengan nyanyian Jamilah. Harap-harap Jamilah mendapat markah yang baik.

Dalam pada itu, adik-adik Jamilah, Akmal (10 tahun) dan Habibah (7 tahun) terpilih ke Kem Permata Seni tari di Hotel Flamingo Ampang dari 29 Mei hingga 4 Jun 2011. Mereka akan membuat persembahan di Seri Perdana pada pertengahan bulan Jun ini.


Latihan di rumah untuk hadapi periksa vokal gred 7


Dalam sibuk periksa sempat buat persenbahan di Putrajaya

Saturday 14 May 2011

Tahniah S.K. Taman Bukit Teratai & Tahniah Jamilah

Pelajar-Pelajar SK Taman Bukit Teratai dengan Piala Kemenangan

Jamilah Menerima Anugerah Kecemerlangan PMR 2010



Minggu ke-dua bulan Mei lepas adalah minggu yang ditunggu-tunggu oleh kami sekeluarga.

Pertamanya kerana pada hari Rabu 11 Mei 201, Akmal yang sedang belajar di Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Teratai, Ampang akan menyertai sembilan rakan-rakannya mewakili sekolah di dalam Pertandingan Tarian Sekolah-Sekolah Daerah Hulu Langat.

Hampir sebulan mereka berlatih menari di sekolah untuk menyertai pertandingan itu. Semua yang terlibat termasuk Guru Besar, guru-guru, pelatih tari, ibu-bapa dan peserta-peserta menunjukkan komitmen yang tinggi untuk mencapai kejayaan dalam pertandingan tersebut.

Maka apabila tiba hari yang ditunggu-tunggu, peserta-peserta tari SK Taman Bukit Teratai telah mencipta kejayaan besar apabila merangkul kesemua kejuaraan yang dipertandingkan di peringkat sekolah rendah, iaitu Johan Tarian Rampai, Johan Tarian Etnik dan Johan Keseluruhan.

Tahniah kepada semua penari-penari SK Taman Bukit Teratai. Tahniah juga kepada guru-guru terutamanya Cigu Zila dan Cikgu Suzana. Tahniah juga kepada jurutari yang saya tak tahu namanya, tetapi dipanggil “Kenik”.

Berita terbaharu diterima bahawa enam penari S.K. Taman Bukit Teratai telah dipilih ke Program Permata Negara. Di antara mereka termasuk adik-adik Jamilah iaitu AHMAD AKMAL (10 Tahun) dan HABIBAH (7 Tahun).

Ke-duanya pula pada hari Sabtu 14 Mei 201, pagi-pagi lagi kami telah ke Dewan Ibnu Khaldun, S.M.K. Taman Tasik, Ampang untuk menyaksikan majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah bagi tahun 2010.

Jamilah adalah salah seorang daripada penerima anugerah itu di dalam kategori Pelajar terbaik PMR 2010 dengan meraih 8A.

Tahniah dan syukur. Terima kasih kepada kepada guru-guru yang mengajar Jamilah, termasuk juga Pengetua, Puan Zaini Mohd Zain dan Guru Kokurikulum, Cikgu Tukinah yang menggalakkan Jamilah cemerlang di dalam bidang pelajaran dan nyanyian.



Lirik Amin berunsur Tasauf

Oleh Abdul Aziz Itar - Utusan Malaysia 14 Mei 2011



LIRIK-lirik nukilannya bukan sahaja kena dengan melodi lagu yang digubah tetapi ia juga menampilkan mesej-mesej yang mendalam maksudnya mengikut pemahaman yang berbeza daripada para pendengarnya.

Malah, penulis lirik dan pelukis berusia 57 tahun ini tidak menafikan kebanyakan lirik garapannya berlandaskan pengajian ilmu tasauf yang boleh mengaitkan seorang hamba dengan pencipta-Nya.

"Kebanyakan lirik lagu ciptaan saya sedikit sebanyak menampilkan unsur-unsur sufisme dan tasauf atau sekarang ini ia lebih dikenali sebagai ketuhanan. Mungkin ramai yang tidak perasan dengan mesej itu.

"Ini kerana ramai yang beranggapan lirik-lirik tulisan saya bertemakan kisah cinta. Tetapi sebenarnya, ia rasa kecintaan yang lebih tinggi antara manusia dan Tuhan. Elemen itu ada dalam setiap diri manusia.

"Cuma ramai yang tidak tahu atau sengaja tidak mahu ambil tahu akan hakikat tersebut," katanya kepada S3 sewaktu berkunjung ke rumahnya di Bandar Baru Selayang, Selangor baru-baru ini.

Pendekatan anak seni berasal dari Batu Pahat, Johor ini dapat dilihat menerusi judul lirik hasil ilhamnya, Umpama Mimpi Dalam Mimpi yang dipopularkan oleh kumpulan Damasutra pada tahun-tahun 1990-an.

S. Amin Shahab atau nama sebenarnya Syed Mohd. Amin Syed Hashim berkata, judul lirik seperti itu bukan setakat unik tetapi ia turut mengandungi maksud-maksud yang mendalam penghayatannya.

"Lirik Suci Dalam Debu misalnya, mempunyai maksud yang mendalam di mana ia juga berunsurkan ketuhanan. Di Indonesia para peminat menggelar lagu itu dengan gelaran lagu tayamum.

"Saya tulis lirik itu dalam masa 30 minit. Mesej lagu itu berdasarkan pengalaman dan pemahaman saya dalam ilmu tasauf yang saya pelajari selama ini," ujarnya mengungkap cerita di sebalik lagu itu.

Selain menghasilkan lirik bertemakan ketuhanan, bapa kepada Sharifah Nur Aisyah, 19, Sharifah Nur Atiqah, 17, dan Sharifah Nur Anisah, 15, ini juga tidak melupakan isu-isu sosial dalam masyarakat.

Beliau contohnya, banyak mengungkap isu-isu sosial dalam lirik tulisannya yang penuh dengan sindiran seperti Kupu-Kupu Malam, Sindrom Kotaraya, Satu Catitan dan Suasana Di Tasik Perdana.

Bukan setakat menyerapkan elemen-elemen tasauf menerusi lirik lagu, tetapi Amin juga menggunakan medium lukisan sebagai satu lagi wadah bagi mengetengahkan mesej-mesej murni tersebut.

Suami kepada Junaidah Johari, 48, yang juga bekas anggota kumpulan trio Ideal Sisters yang popular pada tahun-tahun 1980-an ini memaparkan banyak elemen ketuhanan di sebalik lukisan-lukisannya.

"Lukisan terbaru saya berjudul Hukum Kasih yang memaparkan potret dua orang tokoh agama yang juga dikatakan wali Allah iaitu Tok Kenali dan Tok Lombok telah pun saya siapkan pada tahun lalu.

"Di setiap lukisan saya, akan sertakan diskripsi supaya ia boleh dikaitkan dengan apa yang dipaparkan di sebalik gambar tersebut. Ia sesuatu yang abstrak dan mengikut pemahaman sendiri," jelasnya.

Pada sisi lukisan itu, Amin menulis ayat, 'Kepada-Mu Kekasih adalah tariqat. Hukum kasih adalah hakikat. Tok Kenali, Tok Lombok ku kenal dalam mimpi. Ilmu tuk, tuk sorok, ku jumpa dalam hati.'

Pada masa sama, dia kini sedang menyudahkan potret sembilan wali Allah yang terkenal di Indonesia yang dikenali sebagai Wali Songo di mana empat daripadanya sudahpun disiapkannya.

"Saya telahpun melukis empat daripada sembilan wali itu iaitu Sunan Ampel, Sunan Giri, Sunan Bonong dan Sunan Kudus. Semuanya akan siap pada tahun depan. Satu pameran khas akan diadakan," katanya.

Penulis lirik terbaik menerusi lagu Suci Dalam Debu pada Anugerah Juara Lagu 1990 ini berkata, dia juga kini sedang menyiapkan lukisan terpanjangnya iaitu sepanjang satu kilometer yang menjadi impiannya.

Amin yang mula melukis 1,001 wajah di seluruh dunia sejak 2004 itu akan menyudahkan baki sekitar 200 meter lukisan itu dalam waktu terdekat ini.

"Sepanjang menyiapkan lukisan itu, saya telah menggembara ke banyak negara seluruh dunia antaranya ke China, Mexico, Sri Lanka, Kemboja, Mesir, Greece, Turki, India dan United Kingdom.

"Sewaktu berada di London pada 2008 saya telah menyiapkan 20 meter lukisan itu yang memaparkan Sungai Thames. Sayangnya buat masa ini, projek itu seakan-akan terbengkalai.

"Setakat ini, tiada maklum balas daripada pihak Balai Seni Lukis Negara bagi membantu saya menyiapkan lukisan itu. Rasa kecewa juga. Saya terpaksa mencari dana sendiri untuk menyiapkannya kelak," harapnya.

Jika berjaya disiapkan, lukisannya itu akan dimasukkan ke dalam buku Malaysia Book of Records sebagai lukisan terpanjang di Malaysia yang memaparkan tempat-tempat menarik di dunia.



Tuesday 3 May 2011

Jamilah di Kosmo 4 Mei 2011


Keroncong berbunga di hati Jamilah
Oleh Sahlizah Mohamed – Kosmo 4 Mei 2011

Tidak pernah terlintas dalam minda gadis berumur 16 tahun ini bahawa dia akan memiliki sebuah album rakaman, apatah lagi apabila semua lagu dendangannya dirakam dalam irama keroncong.

Segala-galanya bermula kira-kira enam tahun lalu apabila Jamilah Abu Bakar yang pada ketika itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Teratai di Ampang dekat Kuala Lumpur dipilih untuk mewakili sekolahnya ke Pertandingan Keroncong Remaja peringkat Negeri Selangor.

Namun pada hari pertandingan itu Jamilah diberitahu dia masih belum layak untuk menyertai pertandingan tersebut kerana belum cukup umur, tetapi diberi pelepasan untuk menyanyi sebagai penyanyi jemputan.

“Saya tidak kisah kerana masih lagi diberi peluang untuk menyanyi. Pada waktu itu memang saya rasa takut dan gementar kerana itulah kali pertama saya menyanyi di hadapan orang ramai

“Percaya atau tidak, ketika menyanyi saya pegang kertas yang mengandungi lirik kerana terlalu gemuruh. Bermula dari situlah saya mula menggemari irama keroncong sehingga ke hari ini” kata Jamilah ketika ditemui di Irama Studios Puchong, Selangor baru-baru ini.

Bertitik tolak daripada pertandingan tersebut, kelunakan suara Jamilah melantunkan irama keroncong mendapat perhatian salah seorang juri pertandingan, Abdullah Safri. Dua tahun kemudian Jamilah sekali lagi dijemput selaku penyanyi undangan dalam pertandingan sama sehingga dia dipertemukan dengan komposer keroncong dari Indonesia yang sudah tidak asing lagi, Wawang Wijaya.

“Bagaimanapun saya hanya sempat mempelajari keroncong daripadanya selama tiga tahun sahaja sebelum dia meninggal dunia pada tahun 2009

“Setelah pemergian Wawang, saya berlatih pula dengan komposer lagu keroncong iaitu Mahzan Manan sejak dua tahun lalu,” tutur gadis berkulit cerah itu.

Selain dijemput selaku penyanyi jemputan pada majlis-majlis formal atau perkahwinan, jamilah juga cukup bertuah kerana dia sudah lima tahun berturut-turut dijemput untuk membuat persembahan setiap kali berlangsungnya majlis konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Cinta Jamilah kepada keroncong semakin menebal dari sehari ke sehari dan pada masa sama dia menerima sokongan padu daripada ibu bapanya termasuk juga daripada kalangan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik Ampang.

“Alunan lembut irama keroncong amat berbeza dengan muzik-muzik lain. Pada pandangan saya, keroncong adalah sejenis muzik kelas atasan yang sering didengari oleh golongan diraja dan elit.

“Lirik keroncong amat puitis dan penggunaan bahasa juga amat romantik selain sebutan Bahasa Melayu yang tepat. Itu yang membuatkan keroncong sedap didengar,” jelas anak ketujuh daripada Sembilan beradik itu.

Sebagai langkah untuk berkongsi muzik keroncong dengan pendengar, Jamilah dengan bantuan Mahzan kini dalam proses untuk menghasilkan sebuah album keroncong yang mengandungi 12 buah lagu.

Mula memasuki studio pada bulan November lalu, Jamilah sudah selesai merakamkan 10 buah lagu yang dicipta oleh Mahzan, bapanya sendiri Abu Bakar Ismail dan beberapa komposer yang turut menyumbangkan gubahan lagu untuk didendangkan oleh Jamilah.

“Saya amat seronok, tetapi alam masa yang sama berasa sedikit tertekan kerana semuanya perlu sempurna.
“Ada juga pantang larang yang perlu saya jaga seperti tidak boleh minum minuman berais, tidak boleh menjamah makanan yang pedas selain saya turut amalkan meminum madu setiap hari,” katanya yang memperuntukkan satu jam sehari untuk berlatih vokal di rumah.

Masih belum meletakkan judul album, hasil bakat Jamilah tersebut dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan sebelum Jamilah dan bapanya merangka perancangan seterusnya iaitu untuk melancarkan dan mempromosikannya.

“Saya amat berharap agar album itu nanti akan dapat diterima oleh semua golongan. Lagu-lagu dendangan saya bukan hanya untuk golongan dewasa, malah turut disasarkan juga kepada golongan muda-mudi seperti saya,” ujar Jamilah yang mengangumi penyanyi keroncong dari Indonesia, Tuti Tri Sedya.


Persembahan di Pertandingan Keroncong Remaja Selangor di MPAJ 2005


Jamilah di Konsert Keroncong Kasih Menyusur Zaman Petronas 2010


Lagu Ratu Hatiku di dalam album baru Jamilah