Wednesday 30 September 2009

Berhari Raya di Rumah Terbuka Dr Mahathir

Pada 26 September 2009, kami sekeluarga berkunjung ke Rumah Terbuka Tun Dr Mahathir di Mine Resort, Seri Kembangan. Sungguh ramai pengunjung yang datang sehingga khidmat kenderaan pengantara dari Mine Resort ke rumah Tun tidak dapat menampung jumlah pengunjung yang lama menunggu. Maka ramai pengunjung, termasuk kami berjalan kaki sejauh 2km ke rumah Tun. Sampai di rumah Tun, pengunjung dengan sabar berbaris panjang untuk bertemu dan berjabat salam dengan Tun. Namun semua kepayahan tersebut terubat dengan peluang bersalaman dengan Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah. Paling tidak dapat dilupakan apabila Tun Dr Hasmah memeluk Jamilah apabila mengetahui anak angkat Almarhum Wawang Wijaya mengunjungi beliau. Kami juga berpeluang bergambar dengan Tun Dr. Siti Hasmah.

Terima kasih Tun......

Tuesday 15 September 2009



Penghormatan Tun Siti Hasmah kepada Pak Wawang (Utusan Malaysia 15 September 2009)

SAYA terpanggil menulis surat ini atas beberapa sebab. Namun, saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Encik Saharudin Musthafa kerana penulisannya mengenai Allahyarham Wawang Wijaya yang tersiar dalam Utusan Malaysia pada 26 Ogos 2009 lalu.

Allahyarham adalah seorang yang tidak mempunyai ramai kawan luar selain daripada akademi seni muzik. Cukup sedih apabila berita pemergian beliau tidak banyak diketahui oleh kawan-kawan dan peminatnya, saya telah lihat dua atau tiga sahaja ucapan takziah di YouTube dan sebuah kumpulan mengeluarkan sebuah tribute untuk Allahyarham di Internet.

Mungkin orang ramai atau rakan-rakannya belum tahu ketika itu tentang pemergian beliau. Penulisan Encik Saharudin Musthafa menyakinkan saya bahawa Allahyarham tidak akan dilupai. Terima kasih Encik Saharudin.

Saya mula berkenalan dengan Pak Wang (itu nama yang kami biasa gunakan) melalui BAKTI ketika membuat latihan nyanyian lagu-lagu popular untuk persembahan.

Pak Wawang akan bermain apa jua lagu yang dipilih. Bagi saya, beliau akan beri lagu-lagu lama ciptaan Ismail Marzuki, umpamanya Di Mana Datangnya Asmara dan Sampul Surat dan beliau ingin kepada rentak keroncong.

Memang sedap didengar dan Pak Wang sentiasa menggalakkan dan bersabar melatih kami yang dalam berbagai usia ini.

Perhubungan akhir BAKTI dengan Pak Wang ialah anggaran satu minggu sebelum persembahan BAKTI dalam Majlis Perpisahan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Jeanne Abdullah. Pak Wang tidak hadir dalam kelas latihan ahli-ahli BAKTI.

BAKTI amat bersedih atas pemergian Pak Wang. Sebahagian daripada ahli-ahli BAKTI dapat juga bersama pada upacara pengkebumian Allahyarham.

Saya lebih rasa terkilan dan sedih kerana Pak Wang telah beri saya sekeping CD menunjukkan cara beliau melatih Jamilah Abu Bakar yang beliau sayangi dan berharapan tinggi akan menjadi penyanyi keroncong tanah air yang unggul.

Benar, Jamilah berpotensi tinggi dan jarang saya mendengar seorang gadis berusia belasan tahun minat menyanyi keroncong asli seperti Jamilah.

Berasa syukur dan bangga bahawa ada gadis yang minat menyanyi irama lama lain pada rentak-rentak dan irama orang muda sekarang.

Saya berharap ibu bapa Jamilah akan pastikan Jamilah terus menyanyi lagu-lagu keroncong asli supaya jasa dan kepakaran Allahyarham Wawang Wijaya terus diingati dan berkembang.

Allahyarham Pak Wang, saya percaya, mempunyai banyak buku-buku dan manuskrip lagu-lagu keroncong. Saya berharap legasi Pahlawan Keroncong Negara ini dapat diperolehi dan disimpan sebagai khazanah keroncong di Universiti Aswara, Kementerian Kebudayaan dan Warisan.

Mungkin satu hari nanti, Universiti Aswara akan merancang suatu Konsert Keroncong Asli sebagai mengenang dan menghormati Allahyarham Wawang Wijaya dengan adik Jamilah, Datuk Siti Nurhaliza dan penyanyi-penyanyi keroncong kita yang terkenal mengambil bahagian.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan bahagia atas roh Allahyarham Wawang Wijaya, insya-Allah.


Nota Pengarang : Tun Siti Hasmah Mohd Ali adalah isteri kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

DARI MANA DATANGNYA ASMARA