Friday, 12 November 2010

KERONCONG - SELANGOR TRADITIONAL MUSIC by Dr. Ariff Ahmad

 Synopsis

No nation can claim that their traditional musics are free from foreign influence. Keroncong music was introduced to Peninsular Malaysia by Javanese immigrants. In the state of Selangor, most of them lived in Kelang, Banting and Hulu Selangor. There were suggestions to make Keroncong as Selangor Traditional Music but no concrete actions taken by Selangor authorities.


KERONCONG – MUZIK TRADISIONAL SELANGOR
OLEH DR. ARIFF AHMAD


Apakah Muzik Tradisional?

Soalan ini mungkin mempunyai jawapan yang berbeza mengikut pengetahuan dan pengalaman seseorang. Ada orang yang berpendapat bahawa muzik tradisional bagi sesuatu bangsa haruslah mengandungi cirri-ciri tempatan yang tulen dan ia mestilah berasal dari kawasan di mana bangsa itu tinggal. Ia adalah hasil ciptaan penduduk tempatan dan yang telah diwarisi turun-temurun. Ini tidak semestinya benar kepada kesemua bangsa.

Tidak ada bangsa yang boleh mengatakan bahawa seni muzik tradisional kepunyaannya itu adalah bebas daripada apa-apa pengaruh asing atau pengaruh luar. Dalam sejarah kesenian tiap-tiap bangsa dalam dunia ini, kebudayaan semua masyarakat adalah dipengaruhi oleh orang-orang luar pada sesuatu ketika, melainkan bangsa itu sangat terpencil dan tidak pernah berhubung dengan bangsa lain. Pengaruh ini adalah dalam berbagai bentuk, ada yang mendalam dan ada yang sedikit sahaja tetapi meninggalkan kesan yang masih boleh dilihat dalam kebudayaan bangsa itu sehingga sekarang.

Seni muzik dari Timur Tengah pada suatu ketika dahulu dibawa oleh orang-orang Islam dari sana ke Eropah semasa mereka menguasai sebahagian besar benua Eropah. Seni muzik mereka masih boleh dikesan dalam beberapa seni muzik tradisional di Spain, Portugal, Greece, Italy dan beberapa negara lain walaupun pada masa ini bentuk seni muzik itu sudah berubah.

Pada mulanya seni muzik yang dibawa ke sesuatu tempat oleh kaum-kaum yang menjelajah atau yang mempunyai hubungan rapat melalui perniagaan atau perkongsian dalam hal-hal tertentu mungkin menjadi hiburan sahaja kepada orang-orang asing itu. Tetapi lambat-laun, penduduk tempatan yang selalu terdedah kepada seni itu mula berminat kepada seni muzik orang-orang asing itu dan ingin pula memainkannya. Setelah mempelajari cara memainkan alat-alat muzik asing itu mereka cuba pula memainkan lagu-lagu mereka dengan mengubah-suai cara permainan dan penggunaan alat-alat muzik asing itu kepada cara mereka. Ini berlaku pada permainan muzik tradisional ghazal, khususnya Ghazal Johor. Jenis muzik ini wujud dengan cara pendedahan seni muzik Timur Tengah kepada seni muzik masyarakat di India dan di sana bentuk aslinya telah bertukar kepada bentuk tradisional India. Ia kemudian dibawa pula oleh peniaga-peniaga India ke Malaysia di mana perubahan baru pula berlaku.


Seni Muzik Tradisional di Malaysia

Mengikut sejarah kawasan ini, Tenggara Asia telah dijelajahi oleh bangsa-bangsa lain dari Timur dan Barat seperti pedagang-pedagang China, India, Arab dan akhirnya oleh penjajah-penjajah dari Eropah. Masing-masing telah meninggalkan banyak kesan kesenian mereka dalam kesenian penduduk tempatan dan ini termasuk dalam seni muzik orang-orang di kawasan ini. Daripada bentuk lagu dan rentak kepada jenis alat-alat muzik yang digunakan seni muzik tradisional tempatan boleh dikatakan penuh dengan pengaruh-pengaruh seni muzik asing itu.

Namun demikian, pengaruh-pengaruh asing itu ada yang bertukar bentuk mengikut keadaan hidup atau kebudayaan masyarakat tempatan. Mereka mempunyai pegangan kepada adat resam tradisi dan kepercayaan mereka yang asli. Keadaan ini tidak mudah bertukar atau diubah dalam masa yang singkat dan ada kalanya ia tidak bertukar tetapi disesuaikan sahaja dengan bentuk baru. Contohnya dalam rentak muzik seperti joget, inang, zapin dan asli, bentuk asalnya tidak berubah. Cuma yang berubah adalah alat-alat yang digunakan. Ini berlaku dengan adanya perubahan cara permainan muzik dan selera peminat mengikut keadaan masa.

Seperti yang telah berlaku di Malaysia semenjak beberapa tahun yang lalu, berbagai jenis muzik asing telah mempengaruhi seni muzik di negara ini. Berbagai cara permainan muzik telah diperkenalkan seperti jazz, rock & roll, latin, twist, ago-go dan berbagai lagi tetapi cara permainan muzik tradisional masih juga kekal walaupun tidak begitu terdedah.


Seni Muzik tradisional Negeri Selangor

Menyentuh soal apakah jenis muzik tradisional bagi sesuatu kawasan, misalnya negeri Selangor, jawapannya tidak mudah diberi oleh kerana sukar ditetapkan apakah yang dimaksudkan dengan “kawasan”. Ia boleh menjadi satu daerah kecil atau satu kawasan yang luas. Ia juga mungkin satu kawasan geographical atau politikal. Ini bermakna sempadan kawasan itu berbeza, satu disebabkan oleh keadaan alam seperti adanya lautan atau banjaran gunung dan yang lagi satu sempadan buatan yang ditetapkan oleh manusia yang perpihak-pihak. Kedua-dua jenis sempadan ini menghasilkan dua bentuk perhubungan atau interaksi di antara penduduk yang berjiran, berasingan sama-sekali atau rapat seolah-olah tidak ada perbezaaan langsung.

Negeri Selangor adalah termasuk dalam kategori yang kedua iaitu kawasan politikal dan perbezaannya dengan negeri Perak di utara dan dengan Negeri Sembilan di selatan tidaklah begitu ketara apatah lagi di kawasan sempadan. Negeri Selangor adalah kecil dalam pengertian kawasan kesenian. Keadaan ini memerlukan kita membuat peninjauan ke kawasan yang lebih luas seperti seluruh Semenanjung dan mungkin Nusantara. Kita perlu fikir adakah kesenian Selangor berbeza daripada kesenian kawasan-kawasan di sekelilingnya dan jika ada apakah bentuknya dan apa sebabnya menjadi begitu serta adakah kesenian itu istimewa bagi negeri Selangor sahaja. Ini mungkin tidak benar.

Mengikut kajian sejarah, Selangor banyak dipengaruhi oleh orang-orang dari Sumatera terutama dari daerah Aceh dan orang-orang Bugis dari Sulawesi Selatan. Kebudayaan mereka itu boleh dikesan dalam cara hidup orang-orang Selangor. Keadaan yang sama juga berlaku di beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia seperti di Kedah, Perak dan Johor di mana orang-orang Aceh dan Bugis dipercayai telah lama mengadakan lawatan dan perhubungan perdagangan dengan orang-orang tempatan.

Kemudian berlaku pula fenomina kedatangan pekerja-pekerja kasar dari Jawa dalam tahun-tahun 20an dan 30an yang bekerja sementara di pantai barat Semenanjung dan ada di antara mereka terus menetap di kawasan tempat mereka bekerja seperti di Kuala Selangor, Kelang dan Sijangkang. Pada masa yang sama juga orang-orang dari Sumatera Tengah (Mandiling dan Rawa) telah datang untuk meneroka beberapa kawasan di Selangor seperti di Ulu Langat, Kajang dan beberapa daerah lain dan setelah beberapa ketika, ada di antara mereka balik ke negara asal mereka. Mereka juga ada yang terus menetap di tempat yang mereka terokai. Ini juga berlaku di beberap negeri lain. Dengan ini maka bertambahlah lagi pengaruh-pengaruh Sumatera Tengah di beberapa kawasan di Selangor.

Tetapi dalam bidang seni muzik pengaruh mereka ini tidak pula terkemuka. Yang lebih banyak meninggalkan kesan adalah seni muzik yang dibawa oleh orang-orang dari Jawa yang banyak di dapati di daerah Kuala Selangor, Kelang dan Banting. Di antar seni muzik tradisional yang mereka perkenalkan ialah Keroncong, satu seni muzik yang masih dimainkan di beberapa tempat di Selangor dan dalam siaran radio dan televisyen. Pada masa ini masih ada lagi beberapa kumpulan keroncong di Selangor. Tetapi di di negeri-negeri lain sudah tidak ada lagi kumpulan muzik seperti itu melainkan satu dua di Melaka dan Pulau Pinang.


Keroncong sebagai Seni Muzik Tradisional Negeri Selangor

Pada masa ini belum ada mana-mana negeri yang mengambil seni muzik keroncong sebagai seni muzik tradisional negeri seperti Ghazal di Johor, Boria di Pulau Pinang, dan Gamelan di Pahang dan Terengganu. Pada suatu pertemuan tidak lama dahulu Selangor telah bercadang untuk mengambil keroncong sebagai seni muzik tradisional negeri Selangor. Tetapi tidak ada tindakan tegas diambil untuk menggalak dan memberikan taraf yang sewajarnya kepada seni itu.

Dari segi bentuk aslinya, seni muzik keroncong boleh diterima sebagai mempunyai sifat tradisional terutama rentak, lagu dan alat-alat muzik yang digunakan. Ia juga memerlukan penyanyi khas yang mempunyai suara dan gaya yang terlatih. Jika dibandingkan dengan seni muzik tradisional yang lain yang boleh didapati di Selangor seperti muzik asli, kompang, hadrah dan sebagainya, cuma muzik keroncong sahaja yang difikirkan boleh diketengahkan. Ia masih mempunyai ramai peminat terutama di kalangan orang-orang dewasa dan ada juga di kalangan anak-anak muda. Ia masih boleh mempertahankan kedudukanya dalam zaman “rock”, malah ia juga boleh meresap dalam muzik sezaman. Jenis-jenis muzik tradisional lain mungkin tidak dapat berbuat demikian.


Rancangan Masa depan Untuk Seni Muzik Keroncong

Untuk seni muzik keroncong terus berkembang banyak rancangan perlu disediakan terutama mendedahkan seni itu kepada khalayak ramai dengan cara-cara yang berkesan dan yang boleh menarik perhatian umum. Ini bermakna tindakan keras harus diambil untuk meletakkan kembali seni itu ke mercu yang tinggi. Pihak-pihak yang berpengaruh dan mempunyai kuasa seperti kerajaan negeri misalnya, haruslah menentukan supaya seni ini diberi perhatian yang serius.

Ia sangat memerlukan sokongan semua pihak, bukan sahaja kerajaan tetapi pihak swasta juga. Bantuan dan galakan yang lebih positif harus diberikan kepada kumpulan-kumpulan muzik keroncong. Sebagai tindakan awal mereka haruslah diundang untuk mengadakan persembahan di setiap majlis keraian rasmi dan di persembahan-persembahan pentas. Jika perlu mereka boleh ditaja secara tetap oleh badan-badan tertentu seperti syarikat-syarikat mewah di Selangor.

Perbelanjaan yang terlibat untuk menubuh satu kumpulan keroncong tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan perbelanjaan yang perlu disediakan untuk menubuhkan kumpulan “rock” misalnya. Untuk membeli alat-alat muzik yang digunakan dalam kumpulan keroncong perbelanjaan yang dikehendaki dianggarkan tidak melebihi RM 6,000 sahaja. Ini adalah untuk membeli alat-alat penting seperti Biola, Seruling (Flute), Gitar, Cello, Ukelele, Cak dan Double Bass.


Kegiatan Seni Muzik Keroncong di Badan-badan Kesenian

Badan-badan kesenian harus digalakkan menubuh kumpulan keroncong mereka sendiri dan latihan-latihan boleh diadakan dengan kerjasama orang-orang perseorangan yang berpengalaman dalam bidang seni ini. Pelatih-pelatih dari Indonesia juga boleh dijemput untuk membantu dalam rancangan ini. Cara permainannya tidak begitu sukar dan boleh dipelajari oleh mereka yang berminat dan berbakat. Persembahan keroncong di Indonesia sangat diminati dan berbagai rancangan seperti pertandingan nyanyian lagu-lagu keroncong dan persembahan kumpulan diadakan tiap-tiap tahun. Rancangan ini mendapat sokongan yang hebat daripada rakyat di seluruh negara.

Adalah elok jika dicontohi kegiatan-kegiatan yang sedang diusahakan dalam memperkembangkan seni muzik gamelan di negara ini. Seni muzik gamelan sekarang ini sedang mendapat galakan yang baik dan banyak kumpulan ditubuhkan oleh badan-badan tertentu seperti pusat-pusat pengajian tinggi, badan-badan berkanun, sekolah-sekolah dan sebagainya. Sambutan umum juga telah menunjukkan bahawa seni muzik gamelan mempunyai masa depan yang cerah.

Untuk menentukan supaya tindakan menghidupkan kembali seni muzik keroncong berjalan dengan baik dan berkesan, rancangan-rancangan yang berupa jangka panjang harus difikirkan. Selain daripada latihan, seni ini juga perlu diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran muzik di sekolah. Ini bukan setakat memperkenalkan seni itu sahaja. Kegiatan memainkan seni muzik ini juga harus diadakan di kalangan murid-murid supaya mereka mengenalnya dengan lebih dekat lagi dan seterusnya menghayati seni itu. Mungkin untuk menggalakkan generasi muda memainkan seni keroncong, boleh juga dirancangkan supaya permainannya bercampur dengan cara modern iaitu dengan menggunakan alat-alat elektronik. Begitu juga dengan gaya suara yang dikatakan istimewa untuk menyanyikan lagu-lagu keroncong, boleh juga disesuaikan dengan gaya modern jika perlu.

Kegiatan-Kegiatan Memajukan Seni Muzik Keroncong

Pertandingan juga boleh diadakan dalam bidang mencipta lagu-lagu keroncong, menyanyi dan persembahan kumpulan. Ini harus dihebahkan ke seluruh negara seperti yang pernah diadakan pada satu ketika dahulu oleh pihak RTM. Untuk Selangor pula boleh juga diadakan pertandingan di peringkat negeri dengan menyediakan hadiah-hadiah yang lumayan. Pertandingan seperti ini mestilah diadakan selalu, sekurang-kurangnya sekali setahun dan kegiatan-kegiatan yang ada hubunganya dengan seni muzik itu haruslah diadakan sepanjang tahun.

Selain daripada mendapat galakan dari pihak media massa, siaran radio dan televisyen, pihak pengeluar album, kaset dan cakera padat juga harus memberi kerjasama mengeluarkan lebih banyak album-album yang mengandungi lagu-lagu keroncong dan dipasarkan secara meluas. Penyanyi-penyanyi yang sudah terkenal boleh juga membantu dalam rancangan ini dengan memilih beberapa lagu keroncong semasa mereka mengadakan persembahan mereka.

Untuk menjamin seni ini kekal dimajukan, generasi muda perlu sentiasa didedahkan kepada seni muzik keroncong. Selain daripada mengadakan pendidikan di bangku sekolah, anak-anak muda juga mestilah digalakkan memainkan seni muzik ini. Mungkin bentuk permainannya diubahsuai kepada bentuk baru dengan tidak banyak menukarkan bentuk aslinya. Kumpulan pop misalnya boleh juga digalakkan supaya memainkan lagu-lagu keroncong walaupun berbentuk modern iaitu cuma menggunakan rentak keroncong sahaja seperti yang dilakukan di Indonesia. Walaupun ini menjejaskan sedikit bentuk aslinya, kesenian muzik itu masih boleh dimaju dan dipertahankan. Peredaran masa dan pertukaran selera perlu juga diambilkira dalam merancang kemajuan sesuatu jenis seni oleh kerana sesuatu seni itu harus hidup dan bukan statik. Cara ini bukanlah yang paling sesuai tetapi ada kalanya ia adalah tindakan yang perlu dibuat untuk menjaga masa depan sesuatu seni itu.


Keroncong AMPANG PECAH composed Dr Arif Ahmad. Song by Yusni Hamid
at Keroncong Kasih Petronas Concert in June 2010


Keroncong SELAMAT TINGGAL BUNGAKU composed by Johar Bahar. Song by Jamilah

Tuesday, 26 October 2010

PERTANDINGAN KERONCONG TERBUKA JOHOR 2010

Kerajaan Negeri Johor menerusi Yayasan Warisan Johor telah mengadakan Pertandingan Nyayian dan Kumpulan Keroncong Terbuka Johor 2010 pada 31 Oktober 2010 bertempat di
Dewan Jubli Intan, Mersing Johor.

YB Dato' Zainal Abidin Osman, Ecxo Agama Johor yang mewakili Menteri Besar Johor Yang Amat Berhormat Dato` Haji Abdul Ghani Othman hadir dalam majlis ini serta menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang.

Tempat pertama dalam Kategori Kumpulan dimenangi oleh Kumpulan Keroncong Putra ASWARA dari Kuala Lumpur manakala tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan Keroncong Seri Bayu dari Majlis Perbandaran Pasir Gudang. Tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Keroncong Alunan Bayu dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tg. Malim, Perak.

Dalam kategori Penyanyi Solo Dewasa, Pelajar ASWARA, Azizul Hakim Anuar menggondol juara manakala Naib Johan disandang oleh Hazli Fatihana dari Keluang, Johor. Tempat ketiga jatuh kepada Mohd Izham Bakawi dari Pontian.

Dalam kategori Penyanyi Solo Remaja, Farah Nadira Zaini(18 tahun)dari Mersing dinobatkan juara, manakala Jamilah Abu Bakar (15 Tahun)dari Kuala Lumpur menjadi naib juara. Tempat ketiga dimenangi oleh Mohd Eddy Nazri Hamzah (19 tahun),pelajar ASWARA Kuala Lumpur.

Panel Juri yang mengadili pertandingan diketuai oleh Jaafar Abdul Rahman (JARI).



Tuesday, 28 September 2010

Selamat Pengantin Baru Pasangan Peguam

Selamat Prngantin Baru diucapkan kepada pasangan peguam, Shahrul Nizam bin Azuir dan Nor Emelia binti Mohd Iszeham yang melangsungkan Majlis Perkahwinan mereka di Dewan Perdana Felda pada 26 September 2010.

Seramai 1000 jemputan telah hadir pada majlis tersebut. Turut hadir dan merenjis kedua-dua mempelai adalah Tunku Temenggong Kedah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datoh Nih Omar, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Brig. Jen. Dato Jamil Khir Baharom dan Panglima Angkatan Tentera.

Majlis diserikan dengan persembahan Band D'Semenggos dari Kor Perkhidmatan Diraja Angkatan Tentera dan nyanyian dari Jamilah Abu Bakar dan Farah AF2.





Tuesday, 7 September 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1431H





Kami sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam. Semoga Ramadan yang ditinggalkan dengan berat hati dan Syawal yang menjelma membawa bersama kerahmatah dari Ilahi.

Ucapan khas Selamat Hari Raya , Maaf zahir batin khas kepada semua yang mengenali kami samada rakan-rakan pemuzik dan penyanyi, rakan-rakan sekerja, sekolah, guru-guru jiran-jiran setaman.

Thursday, 26 August 2010

Happy Birthday Jamilah

Hari ini 27 Ogos 2010, Jamilah menyambut hari lahirnya yang ke-15. Kejutan yang sangat menceriakan apabila membuka mesej SMS mendapati Bapak Menteri Belia dan Sukan, YB Dato' Ahmad shabery Cheek menghantar mesej "Selamat hari Lahir. Semoga sentiasa sihat dan ceria. Negara bangga mempunyai belia seperti anda".

Terima kasih Dato'.

Many thanks also to Ludwig, Jamilah vocal instructor at The Singing Shop Ampang for sending her birthday greeting.

Sunday, 15 August 2010

Konvokesyen UKM dan UNIMAP

Awal bulan Ogos merupakan hari-hari yang paling sibuk buat kami sekeluarga. Pada 6 Ogos kami bertolak ke Perlis untuk menghadiri Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) pada keesokan harinya. Sungguh gembira melihat Abang Ahmad Hafifi Abu Bakar menaiki pentas Dewan Wawasan 2020 Kangar menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan.

Dalam perjalanan ke Perlis, kami menerima panggilan dari Hj. Abdullah Safri, ketua kumpulan Kroncong Fajar Baru meminta Jamilah menyertai mereka membuat persembahan di Majlis Makan Tengahari Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi pada 9 Ogos 2010. Maka setelah selesai urusan konvokesyen di UNIMAP kami bergegas ke UKM.

Kenangan manis yang tidak dapat dilupakan di Majlis Makan Tengahari Konvokesyen UKM ialah apabila pemuzik tersohor negara, Datuk Johari Salleh datang ke tempat persembahan kami dan memuji persembahan kami.


Sunday, 1 August 2010

Karya Ke-2,000 Mahzan , Juara Lagu Irama Malaysia



Oleh Mohd Sidek Mohd Salleh, Utusan Malaysia, 2 Ogos 2010.

Walaupun bakal berusia 76 tahun pada 4 Ogos ini, Mahzan Manan masih mampu berkarya dan mengalahkan tujuh peserta lain dalam Pertandingan Akhir Cipta Lagu Irama Malaysia yang diadakan di Live Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lagu ciptaan dan lirik berirama keroncong berjudul "Inginkan Kedamaian" telah didendangkan Jamilah Abu Bakar.

"Saya terkejut dan macam nak tumbang", seloroh Mahzan dalam reaksi ringkasnya selepas diumumkan juara pertandingan tersebut dengan meraih wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penyertaan.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Wira Kamaruddin Siaraf.

Naib Johan pertandingan itu dengan meraih hadiah RM 8,000 dimenangi Jaafar Abdul Rahman @ Idris yang mencipta lagu irama zapin bertajuk "Zapin 1 Malaysia" nyanyian Zarith Syuhaida Mohd Yassin dan liriknya dihasilkan oleh Mohd Fizal Miskam.

Tempat ke-tiga disandang oleh Sharon Anne Paul menerusi lagu ciptaannya bertajuk "Cendera Kirana" dan liriknya ditulis oleh Ahmad Fitri Yahya. Lagu dendangan Sabihah Abdul Wahid menggondol hadih RM 6,000.

Pertandingan itu diadakan untuk mencungkil bakat-bakat baru yang dianjurkan oleh Jabatab Kebudayaan dan Kesenian Negara dengan kerjasama RTM.

Mahzan yang telah beberapa kali menjuarai pelbagai pertandingan lagu sebelum ini adalah peminat lagu-lagu keroncong dan pernah menyertai Kumpulan Keroncong Sinar Malaysia di bawah pimpinan Johar Bahar.

"Saya memilih irama keroncong kerana saya dapati irama ini semakin pupus di Malaysia dan sekiranya tidak ada lagu-lagu irama keroncong baru, saya bimbang ia terus hilang dalam arena muzik negara".

"Tema kedamaian saya pilih berikutan persengketaan yang berlaku di peringkat global yang memerlukan perhatian dunia. Saya mencipta lagu bukan untuk pertandingan semata-mata tetapi untuk perjuangan, pendidikan, dakwah dan budaya.

"Saya akan terus berkarya dan menyertai lagi pertandingan lagu bagi menggalakkan anak-anak muda supaya terus bersaing dan mencipta banyak lagi lagu-lagu irama Malaysia." jelasnya.

Menurut Mahzan, dia mengambil masa seminggu untuk mencipta irama lagu itu yang merupakan karyanya yang ke-2000.