Sunday 1 August 2010

Karya Ke-2,000 Mahzan , Juara Lagu Irama Malaysia



Oleh Mohd Sidek Mohd Salleh, Utusan Malaysia, 2 Ogos 2010.

Walaupun bakal berusia 76 tahun pada 4 Ogos ini, Mahzan Manan masih mampu berkarya dan mengalahkan tujuh peserta lain dalam Pertandingan Akhir Cipta Lagu Irama Malaysia yang diadakan di Live Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lagu ciptaan dan lirik berirama keroncong berjudul "Inginkan Kedamaian" telah didendangkan Jamilah Abu Bakar.

"Saya terkejut dan macam nak tumbang", seloroh Mahzan dalam reaksi ringkasnya selepas diumumkan juara pertandingan tersebut dengan meraih wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penyertaan.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Wira Kamaruddin Siaraf.

Naib Johan pertandingan itu dengan meraih hadiah RM 8,000 dimenangi Jaafar Abdul Rahman @ Idris yang mencipta lagu irama zapin bertajuk "Zapin 1 Malaysia" nyanyian Zarith Syuhaida Mohd Yassin dan liriknya dihasilkan oleh Mohd Fizal Miskam.

Tempat ke-tiga disandang oleh Sharon Anne Paul menerusi lagu ciptaannya bertajuk "Cendera Kirana" dan liriknya ditulis oleh Ahmad Fitri Yahya. Lagu dendangan Sabihah Abdul Wahid menggondol hadih RM 6,000.

Pertandingan itu diadakan untuk mencungkil bakat-bakat baru yang dianjurkan oleh Jabatab Kebudayaan dan Kesenian Negara dengan kerjasama RTM.

Mahzan yang telah beberapa kali menjuarai pelbagai pertandingan lagu sebelum ini adalah peminat lagu-lagu keroncong dan pernah menyertai Kumpulan Keroncong Sinar Malaysia di bawah pimpinan Johar Bahar.

"Saya memilih irama keroncong kerana saya dapati irama ini semakin pupus di Malaysia dan sekiranya tidak ada lagu-lagu irama keroncong baru, saya bimbang ia terus hilang dalam arena muzik negara".

"Tema kedamaian saya pilih berikutan persengketaan yang berlaku di peringkat global yang memerlukan perhatian dunia. Saya mencipta lagu bukan untuk pertandingan semata-mata tetapi untuk perjuangan, pendidikan, dakwah dan budaya.

"Saya akan terus berkarya dan menyertai lagi pertandingan lagu bagi menggalakkan anak-anak muda supaya terus bersaing dan mencipta banyak lagi lagu-lagu irama Malaysia." jelasnya.

Menurut Mahzan, dia mengambil masa seminggu untuk mencipta irama lagu itu yang merupakan karyanya yang ke-2000.

No comments:

Post a Comment