Saturday, 14 May 2011

Tahniah S.K. Taman Bukit Teratai & Tahniah Jamilah

Pelajar-Pelajar SK Taman Bukit Teratai dengan Piala Kemenangan

Jamilah Menerima Anugerah Kecemerlangan PMR 2010



Minggu ke-dua bulan Mei lepas adalah minggu yang ditunggu-tunggu oleh kami sekeluarga.

Pertamanya kerana pada hari Rabu 11 Mei 201, Akmal yang sedang belajar di Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Teratai, Ampang akan menyertai sembilan rakan-rakannya mewakili sekolah di dalam Pertandingan Tarian Sekolah-Sekolah Daerah Hulu Langat.

Hampir sebulan mereka berlatih menari di sekolah untuk menyertai pertandingan itu. Semua yang terlibat termasuk Guru Besar, guru-guru, pelatih tari, ibu-bapa dan peserta-peserta menunjukkan komitmen yang tinggi untuk mencapai kejayaan dalam pertandingan tersebut.

Maka apabila tiba hari yang ditunggu-tunggu, peserta-peserta tari SK Taman Bukit Teratai telah mencipta kejayaan besar apabila merangkul kesemua kejuaraan yang dipertandingkan di peringkat sekolah rendah, iaitu Johan Tarian Rampai, Johan Tarian Etnik dan Johan Keseluruhan.

Tahniah kepada semua penari-penari SK Taman Bukit Teratai. Tahniah juga kepada guru-guru terutamanya Cigu Zila dan Cikgu Suzana. Tahniah juga kepada jurutari yang saya tak tahu namanya, tetapi dipanggil “Kenik”.

Berita terbaharu diterima bahawa enam penari S.K. Taman Bukit Teratai telah dipilih ke Program Permata Negara. Di antara mereka termasuk adik-adik Jamilah iaitu AHMAD AKMAL (10 Tahun) dan HABIBAH (7 Tahun).

Ke-duanya pula pada hari Sabtu 14 Mei 201, pagi-pagi lagi kami telah ke Dewan Ibnu Khaldun, S.M.K. Taman Tasik, Ampang untuk menyaksikan majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah bagi tahun 2010.

Jamilah adalah salah seorang daripada penerima anugerah itu di dalam kategori Pelajar terbaik PMR 2010 dengan meraih 8A.

Tahniah dan syukur. Terima kasih kepada kepada guru-guru yang mengajar Jamilah, termasuk juga Pengetua, Puan Zaini Mohd Zain dan Guru Kokurikulum, Cikgu Tukinah yang menggalakkan Jamilah cemerlang di dalam bidang pelajaran dan nyanyian.



Lirik Amin berunsur Tasauf

Oleh Abdul Aziz Itar - Utusan Malaysia 14 Mei 2011



LIRIK-lirik nukilannya bukan sahaja kena dengan melodi lagu yang digubah tetapi ia juga menampilkan mesej-mesej yang mendalam maksudnya mengikut pemahaman yang berbeza daripada para pendengarnya.

Malah, penulis lirik dan pelukis berusia 57 tahun ini tidak menafikan kebanyakan lirik garapannya berlandaskan pengajian ilmu tasauf yang boleh mengaitkan seorang hamba dengan pencipta-Nya.

"Kebanyakan lirik lagu ciptaan saya sedikit sebanyak menampilkan unsur-unsur sufisme dan tasauf atau sekarang ini ia lebih dikenali sebagai ketuhanan. Mungkin ramai yang tidak perasan dengan mesej itu.

"Ini kerana ramai yang beranggapan lirik-lirik tulisan saya bertemakan kisah cinta. Tetapi sebenarnya, ia rasa kecintaan yang lebih tinggi antara manusia dan Tuhan. Elemen itu ada dalam setiap diri manusia.

"Cuma ramai yang tidak tahu atau sengaja tidak mahu ambil tahu akan hakikat tersebut," katanya kepada S3 sewaktu berkunjung ke rumahnya di Bandar Baru Selayang, Selangor baru-baru ini.

Pendekatan anak seni berasal dari Batu Pahat, Johor ini dapat dilihat menerusi judul lirik hasil ilhamnya, Umpama Mimpi Dalam Mimpi yang dipopularkan oleh kumpulan Damasutra pada tahun-tahun 1990-an.

S. Amin Shahab atau nama sebenarnya Syed Mohd. Amin Syed Hashim berkata, judul lirik seperti itu bukan setakat unik tetapi ia turut mengandungi maksud-maksud yang mendalam penghayatannya.

"Lirik Suci Dalam Debu misalnya, mempunyai maksud yang mendalam di mana ia juga berunsurkan ketuhanan. Di Indonesia para peminat menggelar lagu itu dengan gelaran lagu tayamum.

"Saya tulis lirik itu dalam masa 30 minit. Mesej lagu itu berdasarkan pengalaman dan pemahaman saya dalam ilmu tasauf yang saya pelajari selama ini," ujarnya mengungkap cerita di sebalik lagu itu.

Selain menghasilkan lirik bertemakan ketuhanan, bapa kepada Sharifah Nur Aisyah, 19, Sharifah Nur Atiqah, 17, dan Sharifah Nur Anisah, 15, ini juga tidak melupakan isu-isu sosial dalam masyarakat.

Beliau contohnya, banyak mengungkap isu-isu sosial dalam lirik tulisannya yang penuh dengan sindiran seperti Kupu-Kupu Malam, Sindrom Kotaraya, Satu Catitan dan Suasana Di Tasik Perdana.

Bukan setakat menyerapkan elemen-elemen tasauf menerusi lirik lagu, tetapi Amin juga menggunakan medium lukisan sebagai satu lagi wadah bagi mengetengahkan mesej-mesej murni tersebut.

Suami kepada Junaidah Johari, 48, yang juga bekas anggota kumpulan trio Ideal Sisters yang popular pada tahun-tahun 1980-an ini memaparkan banyak elemen ketuhanan di sebalik lukisan-lukisannya.

"Lukisan terbaru saya berjudul Hukum Kasih yang memaparkan potret dua orang tokoh agama yang juga dikatakan wali Allah iaitu Tok Kenali dan Tok Lombok telah pun saya siapkan pada tahun lalu.

"Di setiap lukisan saya, akan sertakan diskripsi supaya ia boleh dikaitkan dengan apa yang dipaparkan di sebalik gambar tersebut. Ia sesuatu yang abstrak dan mengikut pemahaman sendiri," jelasnya.

Pada sisi lukisan itu, Amin menulis ayat, 'Kepada-Mu Kekasih adalah tariqat. Hukum kasih adalah hakikat. Tok Kenali, Tok Lombok ku kenal dalam mimpi. Ilmu tuk, tuk sorok, ku jumpa dalam hati.'

Pada masa sama, dia kini sedang menyudahkan potret sembilan wali Allah yang terkenal di Indonesia yang dikenali sebagai Wali Songo di mana empat daripadanya sudahpun disiapkannya.

"Saya telahpun melukis empat daripada sembilan wali itu iaitu Sunan Ampel, Sunan Giri, Sunan Bonong dan Sunan Kudus. Semuanya akan siap pada tahun depan. Satu pameran khas akan diadakan," katanya.

Penulis lirik terbaik menerusi lagu Suci Dalam Debu pada Anugerah Juara Lagu 1990 ini berkata, dia juga kini sedang menyiapkan lukisan terpanjangnya iaitu sepanjang satu kilometer yang menjadi impiannya.

Amin yang mula melukis 1,001 wajah di seluruh dunia sejak 2004 itu akan menyudahkan baki sekitar 200 meter lukisan itu dalam waktu terdekat ini.

"Sepanjang menyiapkan lukisan itu, saya telah menggembara ke banyak negara seluruh dunia antaranya ke China, Mexico, Sri Lanka, Kemboja, Mesir, Greece, Turki, India dan United Kingdom.

"Sewaktu berada di London pada 2008 saya telah menyiapkan 20 meter lukisan itu yang memaparkan Sungai Thames. Sayangnya buat masa ini, projek itu seakan-akan terbengkalai.

"Setakat ini, tiada maklum balas daripada pihak Balai Seni Lukis Negara bagi membantu saya menyiapkan lukisan itu. Rasa kecewa juga. Saya terpaksa mencari dana sendiri untuk menyiapkannya kelak," harapnya.

Jika berjaya disiapkan, lukisannya itu akan dimasukkan ke dalam buku Malaysia Book of Records sebagai lukisan terpanjang di Malaysia yang memaparkan tempat-tempat menarik di dunia.



Tuesday, 3 May 2011

Jamilah di Kosmo 4 Mei 2011


Keroncong berbunga di hati Jamilah
Oleh Sahlizah Mohamed – Kosmo 4 Mei 2011

Tidak pernah terlintas dalam minda gadis berumur 16 tahun ini bahawa dia akan memiliki sebuah album rakaman, apatah lagi apabila semua lagu dendangannya dirakam dalam irama keroncong.

Segala-galanya bermula kira-kira enam tahun lalu apabila Jamilah Abu Bakar yang pada ketika itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Teratai di Ampang dekat Kuala Lumpur dipilih untuk mewakili sekolahnya ke Pertandingan Keroncong Remaja peringkat Negeri Selangor.

Namun pada hari pertandingan itu Jamilah diberitahu dia masih belum layak untuk menyertai pertandingan tersebut kerana belum cukup umur, tetapi diberi pelepasan untuk menyanyi sebagai penyanyi jemputan.

“Saya tidak kisah kerana masih lagi diberi peluang untuk menyanyi. Pada waktu itu memang saya rasa takut dan gementar kerana itulah kali pertama saya menyanyi di hadapan orang ramai

“Percaya atau tidak, ketika menyanyi saya pegang kertas yang mengandungi lirik kerana terlalu gemuruh. Bermula dari situlah saya mula menggemari irama keroncong sehingga ke hari ini” kata Jamilah ketika ditemui di Irama Studios Puchong, Selangor baru-baru ini.

Bertitik tolak daripada pertandingan tersebut, kelunakan suara Jamilah melantunkan irama keroncong mendapat perhatian salah seorang juri pertandingan, Abdullah Safri. Dua tahun kemudian Jamilah sekali lagi dijemput selaku penyanyi undangan dalam pertandingan sama sehingga dia dipertemukan dengan komposer keroncong dari Indonesia yang sudah tidak asing lagi, Wawang Wijaya.

“Bagaimanapun saya hanya sempat mempelajari keroncong daripadanya selama tiga tahun sahaja sebelum dia meninggal dunia pada tahun 2009

“Setelah pemergian Wawang, saya berlatih pula dengan komposer lagu keroncong iaitu Mahzan Manan sejak dua tahun lalu,” tutur gadis berkulit cerah itu.

Selain dijemput selaku penyanyi jemputan pada majlis-majlis formal atau perkahwinan, jamilah juga cukup bertuah kerana dia sudah lima tahun berturut-turut dijemput untuk membuat persembahan setiap kali berlangsungnya majlis konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Cinta Jamilah kepada keroncong semakin menebal dari sehari ke sehari dan pada masa sama dia menerima sokongan padu daripada ibu bapanya termasuk juga daripada kalangan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik Ampang.

“Alunan lembut irama keroncong amat berbeza dengan muzik-muzik lain. Pada pandangan saya, keroncong adalah sejenis muzik kelas atasan yang sering didengari oleh golongan diraja dan elit.

“Lirik keroncong amat puitis dan penggunaan bahasa juga amat romantik selain sebutan Bahasa Melayu yang tepat. Itu yang membuatkan keroncong sedap didengar,” jelas anak ketujuh daripada Sembilan beradik itu.

Sebagai langkah untuk berkongsi muzik keroncong dengan pendengar, Jamilah dengan bantuan Mahzan kini dalam proses untuk menghasilkan sebuah album keroncong yang mengandungi 12 buah lagu.

Mula memasuki studio pada bulan November lalu, Jamilah sudah selesai merakamkan 10 buah lagu yang dicipta oleh Mahzan, bapanya sendiri Abu Bakar Ismail dan beberapa komposer yang turut menyumbangkan gubahan lagu untuk didendangkan oleh Jamilah.

“Saya amat seronok, tetapi alam masa yang sama berasa sedikit tertekan kerana semuanya perlu sempurna.
“Ada juga pantang larang yang perlu saya jaga seperti tidak boleh minum minuman berais, tidak boleh menjamah makanan yang pedas selain saya turut amalkan meminum madu setiap hari,” katanya yang memperuntukkan satu jam sehari untuk berlatih vokal di rumah.

Masih belum meletakkan judul album, hasil bakat Jamilah tersebut dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan sebelum Jamilah dan bapanya merangka perancangan seterusnya iaitu untuk melancarkan dan mempromosikannya.

“Saya amat berharap agar album itu nanti akan dapat diterima oleh semua golongan. Lagu-lagu dendangan saya bukan hanya untuk golongan dewasa, malah turut disasarkan juga kepada golongan muda-mudi seperti saya,” ujar Jamilah yang mengangumi penyanyi keroncong dari Indonesia, Tuti Tri Sedya.


Persembahan di Pertandingan Keroncong Remaja Selangor di MPAJ 2005


Jamilah di Konsert Keroncong Kasih Menyusur Zaman Petronas 2010


Lagu Ratu Hatiku di dalam album baru Jamilah

Sunday, 24 April 2011

Mahzan Manan - Penggiat seni yang hampir dilupakan

Terima kasih diucapkan kepada akhbar harian Kosmo yang datang menemual Jamilah dan keluarga di Irama Studios, Puchong pada petang Ahad lepas (24 April 2011).

Walaupun hujan turun dengan lebatnya bersama petir sabung-menyabung, tidak mematahkan semangat wartawan Sahlizan Mohamed dan jurugambar Kosmo meredah suasana mencari arah ke Pusat Bandar Puchong yang memang mengelirukan bagi yang jarang-jarang pergi ke sana.

Khabarnya rencana mengenai Jamilah akan disiarkan di dalam akhbar Kosmo pada hari Rabu, 4 Mei 2011, di dalam ruangan belia. Sama-samalah kita nantikannya.


Turut sama di dalam pertemuan itu ialah Hj. Mahzan Manan, pemilik Irama Studios dan anak lelakinya, Saiful Ekram, sebagai Pengurus teknikal Irama Studios

Hj. Mahzan Manan (76 tahun), seorang penggiat seni dan pencipta lagu yang hampir dilupakan. Beliau telah banyak mencipta lagu-lagu yang menjadi "hit" pada tahin-tahun 70an dan 80an, tetapi saya difahamkan beliau tidak pernah menerima royalti daripada lagu-lagu ciptaan beliau yang dimainkan di corong-corong radio.

Sudah sampai masanya pihak-pihak berkenaan seperti MACP mengambil langkah proaktif dengan menemui beliau dan mendaftarkan berpuluh-puluh lagu ciptaan beliau yang telah dirakamkan.

Lagu-lagu ciptaan beliau juga pernah dijadikan lagu wajib di dalam pertandingan nyanyian Radio Malaya pada tahun 60an. Sudah sampai masanya Kelasik Nasional menyiarkan lagu-lagu lama beliau dan mengisahkan liku-liku perjuangan anak seni ini.

Alangkah baiknya jika Istana Budaya dapat mengadakan sebuah konsert menyanyikan lagu-lagu beliau seperti mana yang dibuat untuk pencipta-pencipta lagu lain.

Friday, 15 April 2011

E-Mail dari seorang Pensyarah

Assalamualaikum Jamilah

Saya terjumpa youtube nyanyian adik Jamilah ni dan donlod beberapa klip/mp3 utk didengar ketika drive dan buat kerja.

Nasihat saya, jaga pelajaran dan kalau boleh tak perlu masuk AF kerana program tu glamer saja dan anda akan sibuk utk melayan program2 mereka.

Maintain dgn apa yg ada sekarang. Harus patuh dgn nasihat org tua. Kepada ayah anda, En ABu Bakar, syabas kerana didikan dan Tuan bersyukor dgn bakat kurnian suara olehNya kepada anak Tuan. Bandingkan dgn Siti, pada saya Jamilah jauh lebih bagus, mewakili penyanyi2 hebat terdahulu seperti Sharifah Aini, Rafeah Buang, Sanisah Huri. Tak perlu utk memperkenalkan diri ke kaca tv.

Mungkin tak perlu jadi glamer spt bebudak AF dan Siti. Biar la menjadi "well kept secret" bakat adik Jamilah. Yg penting hidup bebas, ceria dan selesa dgn apa yg ada sekarang.

Saya harap permata suara ini akan terus menyumbang suasana merdu di telinga saya berbanding dgn kualiti suara penyanyi yang semakin merundum yg terdapat dipersada seni skrg.

Doakan Jamilah sentiasa dilindungiNya, terus improve kualiti nyanyian, Sentiasa jaga diri dan nama keluarga.

Peminat Suara Jamilah
Pendidik IPTA

Saturday, 9 April 2011

Dato' Johari Salleh - Permata Muzik Negara

Dato' Johari Salleh bersama Jamilah dan Pemuzik Keroncong Irama Baru di Majlis Konvokesyen UKM 2010

Dato’ Johari Salleh dilahirkan pada 9 Februari 1940 di Geylang, Singapura. Anak lelaki kepada keluarga Mohd Salleh Bin Mohamad berasal dari Melaka dan Puan Munarah Shuib, berasal dari Singapura.

Beliau mula belajar muzik dan menggubah lagu daripada ayahnya sendiri serta dari seorang guru muzik bernama Saaban Saliman. 

Pada tahun 1968 Johari Salleh mendapat Diploma in Music (Composition and Arrangement) daripada Berklee College of Music, Boston, USA.

Sebahagian besar daripada kerjaya muzik beliau tertumpu di Radio dan Telivisyen Malaysia (RTM). Bermula sebagai Pemuzik Tetap Radio Malaya pada tahun 1961, beliau telah dilantik sebagai Pengarah Muzik RTM pada tahun 1976. 

Pada tahun 1983 beliau meninggalkan RTM dan menjadi Pengarah Urusan Syarikat Josal Music Sdn Bhd sehingga tahun 1986. Seterusnya beliau menjadi  Pengarah Muzik Orkestra Kuala Lumpur (1987-2000) dan Perunding Muzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (2001-2004)-

Kemudian beliau berkhidmat sebagai Felo Tamu Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mulai 2004 hingga 2008. Pada masa sekarang Dato’ Johari Salleh berkhidmat sebagai Felo Kanan di Pusat Perkembangan Pelajar, UKM.

Beliau banyak berkarya dalam bentuk muzik simfonik untuk digunakan oleh orkestra-orkestra besar  seperti dari Sepanyol, Orkestra Sinfoni Kebangsaan Malaysia dan Kuala Lumpur Symphony Orchestra. Beberapa karya simfoni Dato’ Johari Salleh pernah dipersembahkan oleh The New York Symphonic Ensemble, Singapore Symphony Orchestra, St.Pittersburg Philharmonic Orchestra dari Russia dan Cadaquez Symphony Orchestra. 

Di antara sumbangan beliau di dalam lagu-lagu tanahair adalah lagu UMNO  `Bersatu Bersedia Berkhidmat' (1986), serta lagu-lagu komersial untuk penyanyi popular era 70-an dan 80-an seperti Tan Sri S.M. Salim, Suhaili Shamsuddin, Frankie Cheah,  M Rizal, Yasmin Yusuff, Herman Tino, Hanafiah Yunus, Shidee dan Rahimah Rahim.

Pada 9 Ogos 2010, Dato’ Johari Salleh dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kesenian) di sesi kelima Majlis Konvokesyen UKM ke-38 oleh Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir, Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ikuti salah satu lagu ciptaan Dato' Johari Salleh, Gadis dan Bunga ..... 

Monday, 4 April 2011

Cara Download dari Youtube

Saya menerima beberapa pertanyaan bagaimana untuk download lagu-lagu Jamilah dari Youtube.

Anda boleh download dengan menggunakan www.savevid.com

Caranya :

1. Buka Youtube dan copy tajuk video yang hendak di download.
2. Buka www.savevid.com
3. Paste tajuk video pada kotak "search" di savevid.com dan enter
5. Klik Download