Tuesday, 30 November 2010

Keroncong Baru Warisan Zaman Mahzan Manan

Pertandingan Cipta Lagu Irama Malaysia yang berlangsung pada 24 Julai 2010 telah membuktikan bahawa irama Keroncong boleh terus mengharungi zaman melengkapi semua rentak irama-irama Malaysia. Lagu berentak Keroncong "Inginkan Kedamaian" ciptaan Mahzan Manan telah dipilih oleh juri-juri professional sebagai juara pertandingan tersebut.

Hj Mahzan Manan adalah orang lama di dalam bidang penciptaan lagu-lagu. Lagu "Ke Mana Kubawa Diri" dan "Hati Seorang Kekasih" nyanyian Noor Kumalasari adalah di antara lagu-lagu "hit" yang dihasilkan oleh beliau. Beliau juga ada mencipta lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Sudirman Hj, Arshad, Sharifah Aini, DJ Dave, dan ramai lagi penyanyi angkatan 70an dan 80an.

Namun lagu-lagu rentak keroncong, asli dan nasyid adalah rentak-rentak yang sangat digemari oleh beliau. Tokoh muzik yang mempunyai studio muzik sendiri, Irama Studios di Puchong, Selangor menyimpan lebih dari 1,000 judul lagu-lagu yang masih belum diterbitkan.

Terangsang dengan kemenangan beliau di dalam Pertandingan Cipta Lagu Irama Malaysia 2010, Mahzan Manan yang melangkah ke umur 76 tahun pada tahun ini mula mengorak langkah menerbitkan sebuah album penuh Keroncong, kesemuanya ciptaan beliau. Beliau memilih penyanyi remaja yang menyanyikan lagu beliau di malam Pertandingan Cipta Lagu Irama Malaysia 2010, Jamilah Abu Bakar untuk album tersebut.

Album ini akan merupakan album penuh keroncong yang pertama di Malaysia. Sebelum ini lagu-lagu keroncong diselitkan bersama-sama rentak lain di dalam album-album yang dihasilkan oleh penyanyi-penyanyi Malaysia.

Lirik lagu-lagu keroncong untuk album yang memuatkan 12 lagu ini ditulis oleh penulis lirik terkenal, pakar bahasa, peguam, termasuk juga bapa penyanyi Jamilah Abu Bakar. Lagu-lagunya meliputi keroncong Langgam, Keroncong Asli dan Stambul.

Setakat ini 6 buah lagu telah siap dirakamkan dan album ini dijangka akan mula memasuki pasaran pada awal tahun 2011.

Friday, 12 November 2010

KERONCONG - SELANGOR TRADITIONAL MUSIC by Dr. Ariff Ahmad

 Synopsis

No nation can claim that their traditional musics are free from foreign influence. Keroncong music was introduced to Peninsular Malaysia by Javanese immigrants. In the state of Selangor, most of them lived in Kelang, Banting and Hulu Selangor. There were suggestions to make Keroncong as Selangor Traditional Music but no concrete actions taken by Selangor authorities.


KERONCONG – MUZIK TRADISIONAL SELANGOR
OLEH DR. ARIFF AHMAD


Apakah Muzik Tradisional?

Soalan ini mungkin mempunyai jawapan yang berbeza mengikut pengetahuan dan pengalaman seseorang. Ada orang yang berpendapat bahawa muzik tradisional bagi sesuatu bangsa haruslah mengandungi cirri-ciri tempatan yang tulen dan ia mestilah berasal dari kawasan di mana bangsa itu tinggal. Ia adalah hasil ciptaan penduduk tempatan dan yang telah diwarisi turun-temurun. Ini tidak semestinya benar kepada kesemua bangsa.

Tidak ada bangsa yang boleh mengatakan bahawa seni muzik tradisional kepunyaannya itu adalah bebas daripada apa-apa pengaruh asing atau pengaruh luar. Dalam sejarah kesenian tiap-tiap bangsa dalam dunia ini, kebudayaan semua masyarakat adalah dipengaruhi oleh orang-orang luar pada sesuatu ketika, melainkan bangsa itu sangat terpencil dan tidak pernah berhubung dengan bangsa lain. Pengaruh ini adalah dalam berbagai bentuk, ada yang mendalam dan ada yang sedikit sahaja tetapi meninggalkan kesan yang masih boleh dilihat dalam kebudayaan bangsa itu sehingga sekarang.

Seni muzik dari Timur Tengah pada suatu ketika dahulu dibawa oleh orang-orang Islam dari sana ke Eropah semasa mereka menguasai sebahagian besar benua Eropah. Seni muzik mereka masih boleh dikesan dalam beberapa seni muzik tradisional di Spain, Portugal, Greece, Italy dan beberapa negara lain walaupun pada masa ini bentuk seni muzik itu sudah berubah.

Pada mulanya seni muzik yang dibawa ke sesuatu tempat oleh kaum-kaum yang menjelajah atau yang mempunyai hubungan rapat melalui perniagaan atau perkongsian dalam hal-hal tertentu mungkin menjadi hiburan sahaja kepada orang-orang asing itu. Tetapi lambat-laun, penduduk tempatan yang selalu terdedah kepada seni itu mula berminat kepada seni muzik orang-orang asing itu dan ingin pula memainkannya. Setelah mempelajari cara memainkan alat-alat muzik asing itu mereka cuba pula memainkan lagu-lagu mereka dengan mengubah-suai cara permainan dan penggunaan alat-alat muzik asing itu kepada cara mereka. Ini berlaku pada permainan muzik tradisional ghazal, khususnya Ghazal Johor. Jenis muzik ini wujud dengan cara pendedahan seni muzik Timur Tengah kepada seni muzik masyarakat di India dan di sana bentuk aslinya telah bertukar kepada bentuk tradisional India. Ia kemudian dibawa pula oleh peniaga-peniaga India ke Malaysia di mana perubahan baru pula berlaku.


Seni Muzik Tradisional di Malaysia

Mengikut sejarah kawasan ini, Tenggara Asia telah dijelajahi oleh bangsa-bangsa lain dari Timur dan Barat seperti pedagang-pedagang China, India, Arab dan akhirnya oleh penjajah-penjajah dari Eropah. Masing-masing telah meninggalkan banyak kesan kesenian mereka dalam kesenian penduduk tempatan dan ini termasuk dalam seni muzik orang-orang di kawasan ini. Daripada bentuk lagu dan rentak kepada jenis alat-alat muzik yang digunakan seni muzik tradisional tempatan boleh dikatakan penuh dengan pengaruh-pengaruh seni muzik asing itu.

Namun demikian, pengaruh-pengaruh asing itu ada yang bertukar bentuk mengikut keadaan hidup atau kebudayaan masyarakat tempatan. Mereka mempunyai pegangan kepada adat resam tradisi dan kepercayaan mereka yang asli. Keadaan ini tidak mudah bertukar atau diubah dalam masa yang singkat dan ada kalanya ia tidak bertukar tetapi disesuaikan sahaja dengan bentuk baru. Contohnya dalam rentak muzik seperti joget, inang, zapin dan asli, bentuk asalnya tidak berubah. Cuma yang berubah adalah alat-alat yang digunakan. Ini berlaku dengan adanya perubahan cara permainan muzik dan selera peminat mengikut keadaan masa.

Seperti yang telah berlaku di Malaysia semenjak beberapa tahun yang lalu, berbagai jenis muzik asing telah mempengaruhi seni muzik di negara ini. Berbagai cara permainan muzik telah diperkenalkan seperti jazz, rock & roll, latin, twist, ago-go dan berbagai lagi tetapi cara permainan muzik tradisional masih juga kekal walaupun tidak begitu terdedah.


Seni Muzik tradisional Negeri Selangor

Menyentuh soal apakah jenis muzik tradisional bagi sesuatu kawasan, misalnya negeri Selangor, jawapannya tidak mudah diberi oleh kerana sukar ditetapkan apakah yang dimaksudkan dengan “kawasan”. Ia boleh menjadi satu daerah kecil atau satu kawasan yang luas. Ia juga mungkin satu kawasan geographical atau politikal. Ini bermakna sempadan kawasan itu berbeza, satu disebabkan oleh keadaan alam seperti adanya lautan atau banjaran gunung dan yang lagi satu sempadan buatan yang ditetapkan oleh manusia yang perpihak-pihak. Kedua-dua jenis sempadan ini menghasilkan dua bentuk perhubungan atau interaksi di antara penduduk yang berjiran, berasingan sama-sekali atau rapat seolah-olah tidak ada perbezaaan langsung.

Negeri Selangor adalah termasuk dalam kategori yang kedua iaitu kawasan politikal dan perbezaannya dengan negeri Perak di utara dan dengan Negeri Sembilan di selatan tidaklah begitu ketara apatah lagi di kawasan sempadan. Negeri Selangor adalah kecil dalam pengertian kawasan kesenian. Keadaan ini memerlukan kita membuat peninjauan ke kawasan yang lebih luas seperti seluruh Semenanjung dan mungkin Nusantara. Kita perlu fikir adakah kesenian Selangor berbeza daripada kesenian kawasan-kawasan di sekelilingnya dan jika ada apakah bentuknya dan apa sebabnya menjadi begitu serta adakah kesenian itu istimewa bagi negeri Selangor sahaja. Ini mungkin tidak benar.

Mengikut kajian sejarah, Selangor banyak dipengaruhi oleh orang-orang dari Sumatera terutama dari daerah Aceh dan orang-orang Bugis dari Sulawesi Selatan. Kebudayaan mereka itu boleh dikesan dalam cara hidup orang-orang Selangor. Keadaan yang sama juga berlaku di beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia seperti di Kedah, Perak dan Johor di mana orang-orang Aceh dan Bugis dipercayai telah lama mengadakan lawatan dan perhubungan perdagangan dengan orang-orang tempatan.

Kemudian berlaku pula fenomina kedatangan pekerja-pekerja kasar dari Jawa dalam tahun-tahun 20an dan 30an yang bekerja sementara di pantai barat Semenanjung dan ada di antara mereka terus menetap di kawasan tempat mereka bekerja seperti di Kuala Selangor, Kelang dan Sijangkang. Pada masa yang sama juga orang-orang dari Sumatera Tengah (Mandiling dan Rawa) telah datang untuk meneroka beberapa kawasan di Selangor seperti di Ulu Langat, Kajang dan beberapa daerah lain dan setelah beberapa ketika, ada di antara mereka balik ke negara asal mereka. Mereka juga ada yang terus menetap di tempat yang mereka terokai. Ini juga berlaku di beberap negeri lain. Dengan ini maka bertambahlah lagi pengaruh-pengaruh Sumatera Tengah di beberapa kawasan di Selangor.

Tetapi dalam bidang seni muzik pengaruh mereka ini tidak pula terkemuka. Yang lebih banyak meninggalkan kesan adalah seni muzik yang dibawa oleh orang-orang dari Jawa yang banyak di dapati di daerah Kuala Selangor, Kelang dan Banting. Di antar seni muzik tradisional yang mereka perkenalkan ialah Keroncong, satu seni muzik yang masih dimainkan di beberapa tempat di Selangor dan dalam siaran radio dan televisyen. Pada masa ini masih ada lagi beberapa kumpulan keroncong di Selangor. Tetapi di di negeri-negeri lain sudah tidak ada lagi kumpulan muzik seperti itu melainkan satu dua di Melaka dan Pulau Pinang.


Keroncong sebagai Seni Muzik Tradisional Negeri Selangor

Pada masa ini belum ada mana-mana negeri yang mengambil seni muzik keroncong sebagai seni muzik tradisional negeri seperti Ghazal di Johor, Boria di Pulau Pinang, dan Gamelan di Pahang dan Terengganu. Pada suatu pertemuan tidak lama dahulu Selangor telah bercadang untuk mengambil keroncong sebagai seni muzik tradisional negeri Selangor. Tetapi tidak ada tindakan tegas diambil untuk menggalak dan memberikan taraf yang sewajarnya kepada seni itu.

Dari segi bentuk aslinya, seni muzik keroncong boleh diterima sebagai mempunyai sifat tradisional terutama rentak, lagu dan alat-alat muzik yang digunakan. Ia juga memerlukan penyanyi khas yang mempunyai suara dan gaya yang terlatih. Jika dibandingkan dengan seni muzik tradisional yang lain yang boleh didapati di Selangor seperti muzik asli, kompang, hadrah dan sebagainya, cuma muzik keroncong sahaja yang difikirkan boleh diketengahkan. Ia masih mempunyai ramai peminat terutama di kalangan orang-orang dewasa dan ada juga di kalangan anak-anak muda. Ia masih boleh mempertahankan kedudukanya dalam zaman “rock”, malah ia juga boleh meresap dalam muzik sezaman. Jenis-jenis muzik tradisional lain mungkin tidak dapat berbuat demikian.


Rancangan Masa depan Untuk Seni Muzik Keroncong

Untuk seni muzik keroncong terus berkembang banyak rancangan perlu disediakan terutama mendedahkan seni itu kepada khalayak ramai dengan cara-cara yang berkesan dan yang boleh menarik perhatian umum. Ini bermakna tindakan keras harus diambil untuk meletakkan kembali seni itu ke mercu yang tinggi. Pihak-pihak yang berpengaruh dan mempunyai kuasa seperti kerajaan negeri misalnya, haruslah menentukan supaya seni ini diberi perhatian yang serius.

Ia sangat memerlukan sokongan semua pihak, bukan sahaja kerajaan tetapi pihak swasta juga. Bantuan dan galakan yang lebih positif harus diberikan kepada kumpulan-kumpulan muzik keroncong. Sebagai tindakan awal mereka haruslah diundang untuk mengadakan persembahan di setiap majlis keraian rasmi dan di persembahan-persembahan pentas. Jika perlu mereka boleh ditaja secara tetap oleh badan-badan tertentu seperti syarikat-syarikat mewah di Selangor.

Perbelanjaan yang terlibat untuk menubuh satu kumpulan keroncong tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan perbelanjaan yang perlu disediakan untuk menubuhkan kumpulan “rock” misalnya. Untuk membeli alat-alat muzik yang digunakan dalam kumpulan keroncong perbelanjaan yang dikehendaki dianggarkan tidak melebihi RM 6,000 sahaja. Ini adalah untuk membeli alat-alat penting seperti Biola, Seruling (Flute), Gitar, Cello, Ukelele, Cak dan Double Bass.


Kegiatan Seni Muzik Keroncong di Badan-badan Kesenian

Badan-badan kesenian harus digalakkan menubuh kumpulan keroncong mereka sendiri dan latihan-latihan boleh diadakan dengan kerjasama orang-orang perseorangan yang berpengalaman dalam bidang seni ini. Pelatih-pelatih dari Indonesia juga boleh dijemput untuk membantu dalam rancangan ini. Cara permainannya tidak begitu sukar dan boleh dipelajari oleh mereka yang berminat dan berbakat. Persembahan keroncong di Indonesia sangat diminati dan berbagai rancangan seperti pertandingan nyanyian lagu-lagu keroncong dan persembahan kumpulan diadakan tiap-tiap tahun. Rancangan ini mendapat sokongan yang hebat daripada rakyat di seluruh negara.

Adalah elok jika dicontohi kegiatan-kegiatan yang sedang diusahakan dalam memperkembangkan seni muzik gamelan di negara ini. Seni muzik gamelan sekarang ini sedang mendapat galakan yang baik dan banyak kumpulan ditubuhkan oleh badan-badan tertentu seperti pusat-pusat pengajian tinggi, badan-badan berkanun, sekolah-sekolah dan sebagainya. Sambutan umum juga telah menunjukkan bahawa seni muzik gamelan mempunyai masa depan yang cerah.

Untuk menentukan supaya tindakan menghidupkan kembali seni muzik keroncong berjalan dengan baik dan berkesan, rancangan-rancangan yang berupa jangka panjang harus difikirkan. Selain daripada latihan, seni ini juga perlu diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran muzik di sekolah. Ini bukan setakat memperkenalkan seni itu sahaja. Kegiatan memainkan seni muzik ini juga harus diadakan di kalangan murid-murid supaya mereka mengenalnya dengan lebih dekat lagi dan seterusnya menghayati seni itu. Mungkin untuk menggalakkan generasi muda memainkan seni keroncong, boleh juga dirancangkan supaya permainannya bercampur dengan cara modern iaitu dengan menggunakan alat-alat elektronik. Begitu juga dengan gaya suara yang dikatakan istimewa untuk menyanyikan lagu-lagu keroncong, boleh juga disesuaikan dengan gaya modern jika perlu.

Kegiatan-Kegiatan Memajukan Seni Muzik Keroncong

Pertandingan juga boleh diadakan dalam bidang mencipta lagu-lagu keroncong, menyanyi dan persembahan kumpulan. Ini harus dihebahkan ke seluruh negara seperti yang pernah diadakan pada satu ketika dahulu oleh pihak RTM. Untuk Selangor pula boleh juga diadakan pertandingan di peringkat negeri dengan menyediakan hadiah-hadiah yang lumayan. Pertandingan seperti ini mestilah diadakan selalu, sekurang-kurangnya sekali setahun dan kegiatan-kegiatan yang ada hubunganya dengan seni muzik itu haruslah diadakan sepanjang tahun.

Selain daripada mendapat galakan dari pihak media massa, siaran radio dan televisyen, pihak pengeluar album, kaset dan cakera padat juga harus memberi kerjasama mengeluarkan lebih banyak album-album yang mengandungi lagu-lagu keroncong dan dipasarkan secara meluas. Penyanyi-penyanyi yang sudah terkenal boleh juga membantu dalam rancangan ini dengan memilih beberapa lagu keroncong semasa mereka mengadakan persembahan mereka.

Untuk menjamin seni ini kekal dimajukan, generasi muda perlu sentiasa didedahkan kepada seni muzik keroncong. Selain daripada mengadakan pendidikan di bangku sekolah, anak-anak muda juga mestilah digalakkan memainkan seni muzik ini. Mungkin bentuk permainannya diubahsuai kepada bentuk baru dengan tidak banyak menukarkan bentuk aslinya. Kumpulan pop misalnya boleh juga digalakkan supaya memainkan lagu-lagu keroncong walaupun berbentuk modern iaitu cuma menggunakan rentak keroncong sahaja seperti yang dilakukan di Indonesia. Walaupun ini menjejaskan sedikit bentuk aslinya, kesenian muzik itu masih boleh dimaju dan dipertahankan. Peredaran masa dan pertukaran selera perlu juga diambilkira dalam merancang kemajuan sesuatu jenis seni oleh kerana sesuatu seni itu harus hidup dan bukan statik. Cara ini bukanlah yang paling sesuai tetapi ada kalanya ia adalah tindakan yang perlu dibuat untuk menjaga masa depan sesuatu seni itu.


Keroncong AMPANG PECAH composed Dr Arif Ahmad. Song by Yusni Hamid
at Keroncong Kasih Petronas Concert in June 2010


Keroncong SELAMAT TINGGAL BUNGAKU composed by Johar Bahar. Song by Jamilah